03 Disember 2011

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Umno dicadang mengamalkan pendekatan sumpah bai’ah - yang selama ini mendapat perhatian dalam PAS - supaya tidak berlaku sebarang khianat dan sabotaj ketika menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Amalan melakukan sumpah bai’ah digunakan untuk mendisiplinkan calon yang mewakili PAS dalam pilihan raya dan tidak keluar parti jika menang.
Perwakilan dari Terengganu, Kamaruddin Omar berkata jika Umno melaksanakan sumpah bai’ah dengan lafaz “wallahi, wabilahi, watallahi” ke atas semua ahli Umno supaya menerima sebarang calon yang diletakkan oleh BN, maka perikatan itu akan menang dalam pilihan raya umum selama-lamanya.

“Sumpah bai’ah ini bukannya boleh dipermain-mainkan. Silap-silap siapa yang langgar sumpah ini akan menerima padahnya daripada Allah. Sebab itu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani bersumpah bila beliau difitnah dengan isu liwat,” kata beliau ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 pagi ini.
Katanya lagi, sumpah bai’ah adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah sabotaj pada pilihan raya umum.
Beliau yang juga pegawai agama kepada Menteri Besar Terengganu hairan kenapa perwakilan PAS menolak ulama seperti Nasharudin Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada pemilihan Jun lalu,
sebaliknya memilih Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden.
“Adakah Mat Sabu lebih mulia dari Nasharudin dan Tuan Ibrahim?” tanya beliau.
Katanya, ini bermakna PAS sedia mengorbankan ulama dan memilih bukan ulama kerana mereka tidak mahu lagi mendaulatkan negara Islam sebaliknya memperkenalkan konsep negara berkebajikan.
Beliau mengajak orang Umno yang berada di negeri kalah seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang datang ke Terengganu belajar cara mana Umno Terengganu menawan semula negeri itu dari PAS pada 2004.
Katanya, Allah tidak izinkan PAS menang lagi pada 2004 kerana kerajaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzalimi rakyat Terengganu, antaranya dengan menghalau kanak-kanak tadika yang belajar di bangunan milik kerajaan negeri.[TMI]
“Pada tahun 1999 bila PAS menang Haji Hadi kata menang kerana undi malaikat, bila kalah pada tahun 2008, dituduhnya kerani undi hantu pulak,” ujarnya lagi.
Beliau terus mengajak orang Umno supaya terus bersemangat bila balik ke kampung nanti dan jangan hanya bersemangat dalam Dewan Merdeka, PWTC.

0 Comments:

Post a Comment