06 Disember 2011

'Ustaz Budak' perlu bertaubat - Mufti


KOTA BHARU 5 Dis. - Penceramah Pas, Shamsul Zaman Sukri atau 'Ustaz Budak' perlu bertaubat kerana menyamakan golongan ulama dan Musyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan nabi. Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tidak ada manusia yang boleh menyamakan manusia lain dengan nabi kerana nabi itu seorang yang maksum dan sempurna sifatnya. Beliau menjelaskan, maksud hadis 'ulama pewaris nabi' sebenarnya merujuk kepada tugas dan peranan para nabi yang diwarisi oleh golongan ulama dalam menyampaikan dakwah. "Nabi mewarisi akhlak baik, ulama kena tiru. Kalau nabi jalankan seruan dakwah, ulama kena teruskan gerakan dakwah, tapi dia tak boleh disamakan, salah dari segi akidah. Nabi itu dilantik Tuhan. "Nabi tidak mewarisi harta dia tinggal ilmu, ulama mewarisi ilmu. Masyarakat kena faham akan maksud ulama pewaris nabi, iaitu ulama mewarisi al-Quran dan sunnah. Tugas ulama melaksanakan ajaran al-Quran dan sunnah.

"Tak boleh samakan ulama dengan nabi, ini boleh timbulkan krisis akidah dan kena bertaubat. Orang yang buat salah kena bertaubat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sebuah badan pemikir dan beberapa tokoh agama di negeri ini semalam menyifatkan tindakan 'Ustaz Budak' itu menyamakan Nik Aziz dengan nabi, sebagai sesat dan membawa kepada kukufuran.
Justeru, mereka mendesak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengambil tindakan tegas ke atas Shamsul Zaman kerana bimbang ucapan orang fanatik seperti itu akan menjadi wabak dan malapetaka kepada masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, sekiranya individu terbabit sedar dan tahu apa yang dikatakannya, ia boleh menyebabkannya tergelincir akidah serta perlu bertaubat.
Sebaliknya, jelas beliau, individu terbabit boleh dimaafkan sekiranya membuat kenyataan tersebut kerana kejahilannya.
"Tugas nabi ialah tabligh iaitu menyampaikan ajaran al-Quran dan ulama kena sampaikan, nabi jelaskan kandungan kita suci, maka ulama juga perlu jelaskan, nabi dulu adalah penyelesai kepada masalah, maka ulama juga dia perlu menjadi penyelesai kepada masalah serta perbalahan.
"Nabi mengikut riwayat A'isah, contoh atau praktik isu kandungan al-Quran, maka tugas ulama juga mempraktikkan, nabi pamer akhlak al-Quran ulama juga, itu yang dikatakan pewaris nabi," jelasnya.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan bahawa mana-mana umat Islam yang membuat pengakuan bahawa ulama adalah nabi, wajib bertaubat dan perlu melafaz semula dua kalimah syahadah.
Selain itu, menurut beliau, mereka yang bersetuju dengan pengakuan itu juga adalah berdosa besar kerana dianggap bersubahat.
Ini kerana, katanya, Allah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penyudah segala nabi yang diturunkan sebelum baginda.
"Kalau sayang sangat kepada ulama, jangan sampai menyamakan dengan nabi kerana tiada sesiapa pun yang sempurna kecuali nabi. Jangan terlampau taksub kepada parti kerana ia boleh membawa kepada kesesatan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan akidah dan boleh merosakkan iman seseorang.
Katanya, Jakim sedang melakukan siasatan ke atas penceramah itu berhubung ceramah yang diberikan.
"Percaya kepada nabi adalah rukun iman dan Rasulullah adalah nabi terakhir. Oleh itu, sekiranya ada pihak menyamakan seseorang dengan nabi, ia sama sekali salah," katanya.[UM]

0 Comments:

Post a Comment