10 Disember 2011



KUALA LUMPUR, 10 Dis[HD]: Pihak berkuasa agama di negara ini digesa segera bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab menerbit dan menyiarkan sebuah drama pendek di Youtube yang secara terang-terangan menghina hukum Allah. Drama pendek bertajuk 'Lagi Hudud PAS' itu didakwa telah menghina hukum hudud dengan cuba memberi gambaran hudud bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah menjadikan masalah lebih teruk. "DPPM (Dewan Pemuda PAS Malaysia) mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut.


"Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai," kata ketua dewan itu Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily.

Mengikut maklumat yang direkodkan, drama dengan tajuk 'Lagi Hudud PAS' itu yang berdurasi 5 minit 34 saat dimuat naik sejak 21 November lalu oleh pemilik akaun bernama kawasaki9722.

Sehingga berita ini ditulis, drama itu telah ditonton oleh 10,123 pengguna dengan catatan 94 dari mereka menekan like dan 4,395 dislike.

Menggunakan lima pelakon Islam dan tiga bukan Islam, dialog drama ini antara lain menyentuh isu HIV tertinggi di Kelantan sambil memperlekeh hudud yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Malah mereka juga mendakwa ibu tunggal di Kelantan paling ramai dan rakyat negeri itu juga paling ramai bekerja di tempat-tempat maksiat.

Dalam dialog itu juga turut menyebut "Buat hudud pun tak jadi apa" lalu disambung seorang lagi dengan berkata "makin teruk ada la".

Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Saidin dan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang mempersenda hukum Allah SWT dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru-baru ini sedang beliau tiada autoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno sebagai salah seorang panel.

Belum pun reda dengan isu itu, umat Islam sekali lagi dicabar dengan penghinaan hukum Allah melalui drama pendek tersebut.

Apa yang dikesalkan kata Nasruddin, kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah SWT sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah SWT di atas muka bumi ini.

"Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah SWT sedang berdepan dengan  satu tanggungjawab yang sangat berat.

"Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkalan jalan," katanya.

0 Comments:

Post a Comment