KUALA LUMPUR, 17 Feb [
TMI]— Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Zainul Abidin menegaskan pemimpin parti politik perlu “memisahkan” agama dari politik agar kesucian sesuatu agama itu terjamin dan dihormati.
Dalam satu kenyataan kepada
The Malaysian Insider, Asri berkata pemimpin politik sering mempergunakan agama untuk kepentingan sendiri semata-mata mahu menyelamatkan diri dan menghalang kebenaran.
“Saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.
“Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama,” katanya.
Jelas beliau
, sesuatu agama akan dipandang serong sekiranya ia dipergunakan pihak tertentu.
“Sebab itu amatlah merbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.
“Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi,” katanya.
Tambah Asri, pemimpin politik seharusnya sedar dan tidak lagi menjadikan agama sebagai “mangsa” dan “alat” untuk tujuan peribadi.
“Maka tidak hairan jika melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh ahli politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis manusia yang berkepentingan.
“Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam sebaliknya semua agama,” katanya.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menyentuh mengenai seorang pemimpin yang baru dipecat keanggotaan dari sebuah parti — merujuk kepada Datuk Dr Hasan Ali, yang bangkit memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.
“Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja-raja Melayu sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam demikian juga raja.
“Jika Islam diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun apabila Islam dipergunakan, Islam dinodai untuk tujuan tersendiri. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita?” katanya.
Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat awal Januari lalu, akan menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan “Jati” untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.