17 Mac 2012

KOTA BAHARU, 17 Mac - Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen Kota Baharu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Keputusan itu dibuat berdasarkan kebolehan serta peluang yang baik untuk membersihkan namanya dalam dunia politik dan bukan untuk memecahkan undi mana-mana parti yang bertanding, katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Kita di Kubang Kerian, di sini, malam tadi.
Pada pilihan raya umum 2004, Zaid yang juga bekas Anggota Parlimen Kota Baharu memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Mahmood Nik Hassan dengan majoriti 1,723 undi.


Zaid mendakwa banyak orang buat pelbagai tuduhan terhadapnya, dan "saya rasa peluang PRU ini orang Kota Baharu tentukan (sama ada saya ini) boleh pakai atau tidak pakai."

Zaid berkata, beliau juga lebih selesa untuk tidak bertanding atas mana-mana tiket parti politik yang lebih berpengaruh dan yakin dengan kemampuan yang dimilikinya.

"Saya bertanding atas diri saya. Tapi kalau ada orang nak beri ruang, kalau ada untungnya, baguslah. Itu bukan keputusan saya dan buat masa ini saya selesa bertanding atas diri saya," katanya.

Menyentuh mengenai parti Kita, Zaid berkata, beliau masih lagi presiden parti yang sah, dan dakwaan bekas Pengerusi Parti Kita Kedah, Zamil Ibrahim, bahawa beliau telah dipecat adalah tidak benar.

"Sebenarnya, tak ada apa pun. Mereka ini bila kena pecat, dia merungut. Kita sudah bagi amaran, tapi dia buat juga. Kalau kamu nak percaya Zamil, kamu tulislah dia Presiden Kita. (Tapi) kalau kamu tengok daftar pertubuhan, sayalah (presiden)," katanya.

Zaid yang dipecat dari Umno pada Disember 2008 ekoran beberapa tindakannya termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang telah menyertai PKR pada Jun 2009, dan pada pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April 2010, beliau bertanding atas tiket PKR untuk merebut kerusi itu.

Bagaimanapun, beliau dikalahkan calon BN P.Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi.

Zaid kemudian meninggalkan PKR dan menubuhkan parti Kita pada Disember 2010.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment