Warga Marhain,
[
HD] Saya amat kecewa dan terpaku dengan kebiadaban dan tindakan pihak PDRM
membuat "search party" di Stesen LRT Bandaraya berhampiran pusat membeli
belah SOGO yang ketika itu rata-rata sudah mahu pulang ke destinasi
masing-masing.
Waktu itu jam menunjukkan 7.00pm, saya
berserta isteri dan anak keluar dari Pasaraya SOGO kerana dimaklumkan
pasaraya tersebut akan ditutup kerana faktor keselamatan. Kami
seterusnya menuju ke Stesen LRT Bandaraya yang tidak jauh dari situ.
Ketika berada di platform atas, ramai orang sedang beratur untuk
mengambil "token" di mesin tiket. Keadaan ketika itu begitu tenang dan
kelihatan segelintir peserta Bersih 3.0 berpakaian kuning turut sama
beratur untuk mengambil tiket untuk pulang.......klik tajuk / link
15 minit kemudian
keadaan disitu menjadi tegang dengan kehadiran sekumpulan anggota PDRM
beranggaran 15-20 orang berpakaian uniform operasi biru gelap. Mereka
menyerbu stesen itu dengan tujuan membuat "search party" bagi menangkap
mereka yang berpakaian kuning. Apa yang menyedihkan saya, anggota PDRM
tersebut tidak menjalankan tugas dengan cara berhemah dan profesional
dengan orang awam yang berada disitu. Mereka memasuki kawasan itu dengan
jerit pekik seolah-olah hendak menakut-nakutkan orang awam di situ yang
rata-ratanya terdiri daripada golongan bekerja, wanita dan kanak-kanak.
Macam samseng jalanan dalam filem-filem bercorak gangster, cuma kali
ini ianya dilakukan oleh mereka yang beruniform bertugas untuk
melindungi ketenteraman awam.
Mereka berada dalam keadaan
seolah-olah hilang ingatan dan semacam dirasuk ketika "search party"
tersebut. Untuk makluman saudara, keadaan disitu sama sekali tidak ada
aktiviti perhimpunan. Semua orang sedang bergegas untuk pulang. Sangat
menyedihkan saya apabila beberapa anggota PDRM berbangsa Melayu menarik
baju salah seorang peserta Bersih berbangsa Melayu juga yang boleh
dianggap seusia dengan bapanya dengan kasar sekali. Sungguhpun demikian,
beliau tidak melawan dan memberi jawapan "dah nak balik.." dan
diarahkan supaya menanggalkan baju kuning tersebut serta merta.
rupa-rupanya beliau bekas anggota PDRM juga. Beliau meluahkan perasaan
kepada saya, sewaktu bertugas dahulupun beliau tidak pernah berkasar
sedemikian rupa, tidak dengan apa yang berlaku pada hari ini. Wajah
kecewa beliau sangat ketara sekali.
Di satu sudut berhadapan
dengan saya seorang remaja belasan tahun memakai baju jersi bolasepak
Kedah turut dicekup dengan alasan berbaju kuning serta diheret keluar
seolah-olah penjenayah besar. Saya amat hairan dan khuatir dengan
keadaan yang berlaku ini. Begitu zalim dan tidak berperi kemanusiaan.
Mereka seolah-olah hilang kewarasan apabila melompat naik melintasi
kaunter laluan untuk ke platform menunggu bagi mencari saki baki baju
kuning yang lain. Samseng berlesen barangkali.
Saya amat
menghormati serta berterima kasih dengan tugas serta pengorbanan anggota
PDRM, tetapi oleh kerana segelintir daripada mereka yang tidak
profesional dan 'kekampungan' telah mengikis tanggapan tersebut. Memang
jelaslah bahawa negara ini merupakan "police state" acuan dan tinggalan
penjajah. Apabila agama dan lunas-lunas kewarasan ditinggalkan jauh dari
jiwa mereka, hanya sekadar untuk mengisi kekosongan jawatan dan cari
makan..maka kesan dan akibatnya amatlah serius. Inilah PDRM masa hadapan
yang dicorakkan oleh pemerintah untuk melindungi ketenteraman awam abad
mendatang. Sekiranya ini berterusan, kita khuatir budaya gangsterisma
ini bakal menggugat keharmonian negara.
Persoalannya, apakah
peranan Institusi Raja Berperlembagaan ketika ini hanya sekadar tunggu
dan lihat diatas segala kelancangan yang dilakukan oleh sekeliaan
hulubalang-hulubalang dan juak-juak mereka? Apakah mereka tidak mengenal
sejarah sebelum ini? Dimanakah rakyat disisi mereka? Apakah suara
rakyat tidak laku lagi di istana-istana mewah mereka? Apakah mereka
tidak akan disoal oleh Allah Azza Wajalla di atas amanah yang diberikan
oleh rakyat kepada mereka? Apakah definasi rakyat ini adalah kakitangan
awam sahaja dan bukan rakyat marhain seperti saya?
Wallahualam. Hanya Allah SWT sahajalah tempat kita mengadu kali ini.
Sekian. Terima kasih.