HONG KONG - Sekumpulan saintis China mengklonkan seekor biri-biri
modifikasi genetik bercirikan lemak 'baik' yang ditemui secara semula
jadi dalam kacang, biji benih, ikan dan sayur-sayuran hijau.
Biri-biri berkenaan, Peng Peng yang mempunyai gen cacing bulat
dilahirkan dengan berat 5.74 kilogram di sebuah makmal dalam wilayah
Xinjiang, barat China pada 26 Mac lalu. "Ia membesar dengan baik dan sihat seperti seekor biri-biri biasa,"
kata Ketua Saintis Institut Genom Beijing, Du Yutao di Shenzhen, selatan
China. Yutao dan beberapa saintis lain memasukkan gen yang memiliki ciri
pengeluaran asid lemak politaktepu ke dalam sel penderma yang diambil
daripada telinga seekor biri-biri Merino China.
Sel tersebut kemudian dimasukkan ke dalam sebiji telur yang belum
disenyawakan dan dipindahkan ke dalam rahim seekor biri-biri tumpang.
"Gen berkenaan berasal daripada
C. elegans (cacing bulat) yang didapati dapat meningkatkan kandungan asid lemak tak tepu yang baik untuk kesihatan manusia," kata Yutao.
China perlu membekalkan makanan kepada rakyatnya.
Namun, hanya tujuh peratus daripada tanah subur di dunia terdapat di China.
Bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan, Beijing giat
meningkatkan pengeluaran gandum, daging dan produk makanan lain untuk
bekalan domestik sejak beberapa tahun lalu. - Reuters