Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan
Persekutuan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada
Islam sebagai addin, hanyalah cakap politik semata-mata.
Perdana menteri berkata Abdul Hadi hendak menjadikan Islam sebagai "way
of life" (satu cara hidup) tetapi "way of life" sahaja tidak boleh
menjadi undang-undang.
"(Dalam
perlembagaan negara) Islam adalah agama persekutuan. Daripada situ kita
boleh bangunkan Islam melalui dasar dan institusi yang kita wujudkan
supaya Islam jadi addin atau sebagai cara hidup. Jadi tak perlu pinda
perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival
Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di Gua Musang,
hari ini....klik tajuk
Baru-baru ini, Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata pakatan pembangkang
akan meminda perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam
sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi
seluruh kehidupan manusia, jika dipilih menjadi kerajaan pada pilihan
raya umum akan datang.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai di negara ini
tidak menggunakan Islam sebagai addin atau cara hidup, malah ia dirangka
oleh orang bukan Islam yang mempunyai ideologi dan teori manusia yang
tidak adil kepada umat Islam.
Najib berkata kenyataan Abdul Hadi itu adalah perkara baharu setelah PAS membuat pelbagai perubahan dalam dasar mereka.
"Mula-mula nak negara Islam. Atas desakan DAP tukar negara kebajikan,
lepas tu timbul balik hukum hudud. Kini timbul pula nak pinda
perlembagaan nak jadikan addin. Ini dah dapat tentangan DAP sekarang.
Perlembagaan sekarang dah cantik... tak boleh nak pinda
sewenang-wenangnya," katanya.
Menyentuh isu lain, perdana menteri melahirkan rasa gembiranya kerana
kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, yang dilapor hilang
minggu lepas dipercayai diculik, ditemui dalam keadaan selamat di
Rawang semalam.
Najib berkata sebelum kanak-kanak itu dibebaskan beliau telah menelefon
bapa kanak-kanak itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan
kerjasama sepenuhnya.
"Saya dah tugaskan seorang pegawai di pejabat saya untuk menjadi
perantara antara kerajaan, polis dan keluarga itu. Kini kanak-kanak itu
selamat dan pulang ke pangkuan keluarga. Saya rasa lega dan syukur,"
katanya.
Nayati, 12, ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai
Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Selangor pada pukul 7.55 pagi
oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis.
Nayati dilapor dilarikan dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa
Mont' Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas.[
bernama.][
MK]