GEORGE TOWN, 9 Mei — Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini
meluluskan rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau
Pinang dan Seberang Perai) bagi membolehkan anggota-anggota majlis
perbandaran di negeri ini dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya.
Enakmen yang dikenali sebagai Undang-undang Pilihan raya Kerajaan
Tempatan itu dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan
dan Pengurusan Lalu Lintas negeri Chow Kon Yeow.
"Kelulusan enakmen ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli majlis pihak berkuasa
tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran
Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis
Perbandaran Seberang Perai (MPSP)," katanya.
Beliau berkata pilihan raya kerajaan tempatan itu tidak bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan negeri berharap SPR akan
bekerjasama menjayakan pilihan raya itu kelak.
Enakmen itu diluluskan tanpa kehadiran kesemua sebelas wakil rakyat
Barisan Nasional (BN) yang bertindak memulau sidang DUN hari ini.
Persidangan DUN ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.— Bernama