KUALA LUMPUR, 20 Mei [
TMI]— Ulama Muda Umno tidak menolak untuk bertanding
atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya sekiranya mendapat
lampu hijau dari kepimpinan pusat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang dihubungi
The Malaysian Insider berkata,
pihaknya bersedia menghulurkan bantuan jika parti memerlukan mereka,
bagaimanapun menegaskan, pihaknya bukan jenis yang meminta-meminta,
tetapi sedia membantu jika diperlukan bagi memperjuangkan prinsip Islam.
"Kami tidak akan menolak. Kami bukanlah jenis yang meminta-minta,
jika parti perlukan kami, kami sedia berkhidmat untuk memperjuangkan
prinsip Islam," jelasnya.
Kewujudan cabang ulama muda di dalam Umno dilihat masih baru
berbanding PAS yang mempunyai Dewan Ulama sendiri, khusus untuk
pemantapan ahli PAS dan penyertaan politik yang aktif.
Bagaimanapun, ulama muda Umno ini menjelaskan, kewujudan mereka tidak
seharusnya dilihat sebagai satu entiti semata-mata, sebaliknya perlu
dilihat dari konteks yang lebih luas.
"Kami bukan berjuang atas dasar peribadi, politik. Tetapi kami berjuang demi agama," tegas Fathul Bari.
Menurut bekas Penasihat Agama Institut Jantung Negara (IJN) ini lagi,
pihaknya tidak berat sebelah dalam mengeluarkan kenyataan, sama ada
melibatkan pembangkang mahupun kerajaan pimpinan Umno-BN, parti yang
dianggotai mereka.
"Suara kami tidak pernah disekat. Umno tidak pernah menghalang kami,
bahkan, kami turut mengeluarkan kenyataan yang tidak memihak kepada
parti, tapi kami tidak pernah disekat," katanya lagi membandingkan
kebebasan bersuara di dalam PAS.
"Bukan seperti PAS. Ramai ulama PAS yang dihalang daripada
mengemukakan kenyataan yang bercanggah dengan pemimpin mereka. Kita
lihat mereka bercakaran dalam Pakatan Rakyat (PR), tapi mana suara
ulama, pemimpin PAS?", soal beliau lagi.
Fathul Bari turut menegaskan, segala kenyataan yang diutarakan ulama
muda tersebut juga bukanlah atas telunjuk Umno, sebaliknya atas
inisiatif mereka sendiri selaku umat Islam.
"Adakah kami keluarkan kenyataan mengikut kepentingan Umno?" Tidak,"
tegasnya, dan menambah, perjuangan kumpulan ulama muda tersebut adalah
semata-mata kerana Islam dan masyarakat Melayu di negara ini.