SAN FRANCISCO 1 Mei - Seorang lelaki memfailkan saman terhadap dua
buah syarikat berikutan pengalaman ngeri yang dilaluinya apabila alat
sulitnya menegang selama dua tahun selepas menunggang sebuah motosikal
berkuasa besar.
Henry Wolf yang menetap di sini, mengemukakan saman tersebut terhadap
syarikat pengeluar motosikal, BMW dan juga Corbin-Pacific Inc., yang
bertanggungjawab membuat tempat duduk kenderaan itu di Mahkamah Agung
San Francisco, minggu lalu.
Dalam saman tersebut, Wolf mendakwa pada mulanya dia sangat gembira
dapat menunggang motosikal BMW 1993 yang dilengkapi tempat duduk
Corbin-Pasific, dalam tunggangan selama dua jam tanpa henti.
Namun, secara tiba-tiba selepas itu, alat sulitnya mengalami
ketegangan sepanjang masa yang didakwanya
berpunca daripada rekaan
tempat duduk berbonggol dan kegagalan pembuatan serta pemasangan oleh
defendan.
Peristiwa tersebut menurutnya berlaku pada 1 Mei 2010 dan sejak itu, keadaannya berterusan sehingga sekarang.
Wolf turut menyatakan bahawa aktiviti hariannya terjejas termasuk
tidak dapat melakukan hubungan seks, yang menyebabkan dia mengalami
tekanan emosi dan mental yang teruk.
Sementara itu, sebuah blog automotif, Rushlane melaporkan, kejadian seperti itu bukan yang pertama pernah berlaku.
Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, ia dilihat mempunyai kaitan
langsung antara rekaan tempat duduk motosikal dan masalah berkaitan
seperti kesuburan dan mati pucuk.
Menurut blog tersebut, getaran yang berterusan sepanjang tunggangan
ditambah keadaan tempat duduk, dikatakan menjadi punca masalah tersebut
berlaku. - AGENSI