Walaupun kita tidak bersetuju dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Bersih, tetapi dalam membangkang mereka janganlah pula sampai kita menjemput si Murtad ini untuk menghentam para ulama dan mufti, buruk natijahnya jika soal hukum agama ditanyakan kepada mereka yang buta mata hatinya...tunggulah kehancuran jika urusan agama diperkudakan oleh mereka yang bukan ahlinya.
Sumber [
MK] Penulis penuh kontroversi, Irshad Manji menolak fatwa Majlis Fatwa
Kebangsaan yang melarang umat Islam negara ini menyertai demonstrasi
seperti himpunan BERSIH pada 28 April lalu.
Beliau berpandangan fatwa adalah pandangan ulama semata-mata dan ia bukan perintah Tuhan yang termaktub dalam Al-Quran.
"Keluarkan
seberapa banyak fatwa yang anda (mufti) mahu tetapi fatwa anda atau pun
anda (mufti) sendiri tiada pengiktirafan Tuhan," kata Irshad dalam satu
temubual eksklusif dengan
Malaysiakini.
Awal bulan ini,
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia memutuskan umat Islam diharamkan menyertai perhimpunan atau
demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta
mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.
Fatwa yang
dikeluarkan seminggu selepas himpunan BERSIH itu dilihat sesetengah
pihak sebagai dipengaruhi agenda politik tertentu.
Meneruskan
wawancara, pensyarah di New York University (NYU) itu turut mengkritik
keras golongan ulama hari ini yang disifatkannya cuba berlagak seperti
Tuhan dan mahu penganut Islam menurut perintah mereka tanpa penilaian
kritis.
"Anda bukan Tuhan. Hanya ada satu Tuhan dan kerja itu masih belum ada kekosongan," kata Irshad sinis.
Cabar doktrinisasi tanpa penilaian kritis
Beliau
sebaliknya menggesa umat Islam kembali kepada Al-Quran yang menuntut
penganutnya berfikir sebagai satu wadah untuk meningkatkan keimanan.
"Jika
lebih ramai orang Islam faham beza di antara ulama dan Allah, kita akan
mengizinkan diri kita melaksanakan perkara yang dianjurkan Al-Quran
iaitu berfikir untuk diri sendiri bagi meningkatkan keimanan kita,"
katanya yang percaya Al-Quran sebagai sumber rujukan tunggal untuk umat
Islam.
Irshad dikenali sebagai penulis yang mencabar pemikiran Islam yang diindoktrinasikan tanpa sebarang penilaian kritis.
Kehadirannya di Malaysia adalah untuk mempromosikan buku terbarunya,
Allah, Liberty and Love yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan akan berada di pasaran tidak lama lagi.
Bukunya sebelum ini,
The Trouble with Islam Today: A Muslim's Call for Reform in Her Faith diharamkan di Malaysia selepas lapan tahun berada di pasaran.