Sumber [HD]Memilih
pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil
Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran
yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci
daripada segala kesalahan.
Di zaman keemasan umat Islam menjadi
kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan
bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah SWT). Rasulullah
S.A.W bersabda: “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang
baik “.
Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang
dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti
oleh umatnya.
Ucapan Abu Bakar R A apabila dipilih menjadi ketua
negara selepas wafatnya Rasulullah SAW: “Wahai tuan-tuan ! saya telah
dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik
di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya,
sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah
amanah, bohong adalah khianat....”
Beginilah juga ucapan setiap
pemimpin yang dilantik selepasnya. Amalan sistem pemerintahan Islam yang
dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab
menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn
Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain diterjemahkan ke
dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden
yang diamalkan oleh negara Barat.
Walaupun mereka menerima dengan
fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama,
namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil
dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan
para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan
atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam
urusan pemerintahan secara beradab.
Sistem yang adil ini
menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti
di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi
moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.
Bagi mewujudkan
penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat
diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar
memahami hak mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap
ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan
sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi
hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang
menuduh.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya adalah badan yang bebas
bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di
antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh
Rasulullah SAW ketika menegakkan negara contoh di Madinah.
Sistem
ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang
ditubuhkan daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden
menjadi medan politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan
secara damai.
Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis
sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang
adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada
bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada
kesilapan langsung.
Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti
kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan
dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi
melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang
menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti
apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati
menunaikan amanah.
Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan
seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal
Watergate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah
seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan
negara asing.
Di India membatalkan kemenangan seorang perdana
menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di
zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem diktator terpaksa
berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.
Negara
kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke
arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihan Raya yang tidak
bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak
diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku
pemisahan kuasa yang sebenar.
Kedudukannya berada di bawah siapa
parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi
mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang
diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda
rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah menjadikan
kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan
tidak ada hari kiamat.
Daftar pengundi yang tidak masuk akal,
seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan penduduk kampung
yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi
bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah
banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku
sebelumnya tanpa tindakan yag adil.
Politik wang yang membarah ke
dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan
pilihanraya umum. Semua yang berlaku adalah kemungkaran yang mencalarkan
imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak
kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.
PAS
wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi
kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam
kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran
kerana Rasulullah SAW mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan
mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut
kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam
hati.
Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan
demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.
Rasulullah
SAW mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada
persembunyian mereka di Mekah selepas Islamnya Hamzah dan Umar RA bagi
menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara
terbuka dan aman tanpa senjata.
Ketika berada di Madinah dan
telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda
kepada para sahabatnya, menyebut peristiwa lama berlaku sebelum
dilantik manjadi Rasul: "Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke
rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul (persefahaman dan
kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang
zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang
nescaya aku menyertainya."
Rasulullah menerima secara positif
segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia
termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang
pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman
jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.
BERSIH adalah
gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai
ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya
yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka
tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah
manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.
PAS berpendapat
bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil.
Umno sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan
politik adalah amanah besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya,
tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti
menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan
akhlak yang mulia.
Amanah politik dijadikan peluang mengumpul
harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan.
Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang
zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja,
sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.
Akhirnya PAS wajib
mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat
lagi apabila membaca amanat Rasulullah SAW: "Sama ada kamu menyuruh
kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya
orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik
berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah."
Sabdanya lagi: "Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal."
PAS
tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri
terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemungkaran
nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi
burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh
tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.
Adapun alasan
berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan
terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran
merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan
sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik
kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja
adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar.
Lebih
tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa
mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang
bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri
untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan
nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti
diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.
Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama Umno yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
Maksudnya:
Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya
Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu.
(Surah Muhammad: 38)
DATUK SERI ABDUL HADI AWANG merupakan presiden PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.