Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa Pakatan Rakyat
akan mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang dengan
majoriti mudah dan peralihan kuasa akan berjalan secara aman. Katanya, ini adalah kerana pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, tidak akan mahu membahayakan masa depan
mereka untuk terus berdegil memegang kuasa jika mereka kalah. Kenyataan
Anwar itu dilihat sebagai satu usaha untuk meyakinkan
golongan atas
pagar selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa
pembangkang mungkin mencetuskan huru-hara jika mereka kalah dalam
pilihan raya umum akan datang. Mesej yang sama turut disuarakan oleh Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim dua hari lepas. "...
saya fikir mereka tahu rakyat tidak akan membiarkannya... kerana mereka
tahu akan ada risiko besar," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.
Beliau
menegaskan demikian di majlis makan malam Kelab Wartawan Asing Malaysia
(FCCM) di Kuala Lumpur malam tadi, apabila ditanya sama ada rusuhan
akan tercetus jika BN kalah dalam pilihan raya.[
MK]