KOTA BHARU[sini]: Pihak yang
tidak ada maruah sahaja mempersendakan usaha kerajaan negeri membina
lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bagi menyelesaikan masalah lalu
lintas. Bekas Setiasuaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua
(gambar) berkata, siapa sebenarnya yang menipu rakyat bagi membina kemudahan asas bagi manfaat orang ramai di Kelantan. “Sedangkan semua orang tahu projek lebuh raya itu pernah dijanjikan
mahu dibina sejak 1986 oleh pemimpin Umno, namun sampai sekarang tidak
menjadi kenyataan. “Jadi siapa sebenarnya yang tipu rakyat. Tengok jambatan Sultan Yahya
Petra kedua sampai sekarang belum siap selepas masuk tahun kelima. “Saya difahamkan sudah berapa kali bertukar kontraktor yang membina
jambatan itu. Sedangkan di China jambatan yang merentangi laut dapat
disiapkan dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada ceramah di Lembah Sireh
malam tadi.....
Ceramah terbabit diadakan sempena program Cakna Rakyat Dun Bunut
Payong. Hadir sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Adun Bunut
Payong, Datuk Takiyuddin Hassan.
Pelbagai acara diadakan pada sebelah pagi sehingga petang. Biar pun
hujan sebelah petang namun ia tidak menghalang orang ramai datang
mengikuti ceramah.
Rabu lalu sekumpulan pemuda yang didalangi Umno mengadakan
perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim dengan membawa peralatan binaan
yang buruk, seperti mempersendakan kerajaan negeri membina lebuh raya
rakyat.
Lau yang juga bekas guru besar berkata, lebuh raya berkenaan diyakini
dapat disiapkan mengikut jadual memandangkan bahan mentah seperti pasir
dan batu banyak terdapat di lokasi lebuh raya yang akan dibina.
Beliau juga yakin pemimpin Umno Kelantan menjadi penghalang kepada Kelantan mendapat hak ke atas royalti petroleum.
“Saya yakin Perdana Menteri tidak ada masalah untuk membayar royalti
tersebut, namun masalahnya ada pemimpin Umno di Kelantan sendiri yang
menghalangnya,” ujar beliau.
Salahuddin pula memberitahu dua menteri kabinet yang berasal dari
Kelantan tidak memainkan peranan untuk memastikan negeri ini mendapat
hak ke atas royalti.
“Mereka tahu kalau Kelantan mendapat royalti, Umno buat selama-lamanya tidak bermimpi untuk menawan Kelantan,” ujarnya.