26 Jun 2012

WAWANCARA[MK] Selepas 26 tahun, penulis dan sarjana kontroversi Kassim Ahmad menuntut kerajaan menarik balik pengharaman bukunya Hadis: Satu Penilaian Semula yang dicop pelbagai pihak memprogandakan ajaran anti-Hadis.

Yakin penerimaan masyarakat sudah berubah, Kassim - tokoh kiri selepas kemerdekaan - mendedahkan, beliau sudah mengutus sepucuk surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk tujuan itu tiga bulan lalu.

"Tiga bulan lepas saya tulis surat kepada Hishammuddin. Saya kata keadaan kini sudah mula berubah banyak.

"Kerajaan kita pun sekarang sudah hapuskan ISA dan beberapa undang-undang darurat. (Jadi) patutlah pengharaman buku ini ditarik balik," katanya.

Bekas presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) itu itu pada 1986 mencetuskan kegemparan apabila tampil dengan Hadis: Satu Penilaian Semula yang amat kritikal terhadap Hadis - sumber hukum kedua tertinggi dalam Islam selepas al-Quran.

Selepas perdebatan demi perdebatan dengan sarjana dan NGO Islam, termasuk di media, kerajaan pada Julai 1986 mengharamkan buku itu manakala Majlis Fatwa Kebangsaan mendakwa ia mengandungi fahaman bertentangan dengan akidah.

Buku itu, antaranya didakwa terpengaruh dengan saintis Mesir yang berhijrah ke Amerika Syarikat Dr Rashad Khalifa (gambar terjemahan al-Quran oleh Rashad di bawah) yang dibunuh pada 1990 selepas mengaku sebagai rasul.

Bukan itu sahaja, sebuah lagi bukunya Dilema Umat Islam-Antara Hadis dan al-Quran menerima nasib sama.

Dr M terima, Anwar pernah setuju

Usaha Kassim menerbitkan al-Quran terjemahan sendiri berjudul Bacaan (juga diharamkan pada 1995) bersama sahabatnya, seorang warganegara Singapura Osman Ali juga menimbulkan keresahan banyak pihak.

Kassim bagaimanapun menafikan bersikap anti-Hadis tetapi kritikal kepadanya serta menerima kira-kira 40 peratus hadis yang diriwayatkan, yang dianggapnya tidak bertentangan dengan al-Quran.

NONEKetika diwawancara Malaysiakini di kediamannya di Kulim, Kassim berkata, surat yang dihantar melalui pos berdaftar kepada Hishammuddin itu bagaimanapun belum berbalas.

"Dia mesti (tarik balik). Sebab sekarang ini pun banyak orang sudah balik kepada al-Quran. Tinggal lagi dia (kerajaan) tak iktiraflah," katanya yakin ketika ditanya sama ada harapan supaya buku itu beredar semula dalam pasaran masih menyala.

Seolah masih segar dalam ingatan, Kassim berkata, dalam tempoh 26 tahun sejak buku itu diterbitkan, pelbagai pihak perlahan-lahan berubah dan menerima pandangannya, termasuklah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pada mulanya didakwa bersetuju dengan buku itu "secara prinsip" sebelum berubah pendirian kemudiannya.

NONEMenurut Kassim, setiausaha Anwar pernah memberitahunya "kami bersetuju dengan kamu secara prinsip, tetapi berbeza secara taktikal" tetapi selepas buku itu hangat diperdebatkan, beliau difahamkan Anwar berpakat dengan "ulama" untuk menekannnya.

Mengulas penerimaan terhadap gagasannya itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, terdapat seorang iman Masjid Keling di negeri itu yang dikenali sebagai "Bukhari" amat menghormati pandangannya selepas buku itu diterbitkan.

Allahyarham Imam Bukhari, tambah Kassim, malah mencadangkan kepada orang ramai untuk mendalami ideanya yang kritikal terhadap Hadis dalam buku Hadis: Satu Penilaian Semula.

"Ada seorang cikgu daripada Sabah jumpa Imam Bukhari di Mekah. Dia (Bukhari) kata, hang nak tau pasal Islam hang pi jumpa Kassim Ahmad. Dia (guru itu) betul mai pada saya, (kira-kira) sepuluh hingga 15 tahun lalu," katanya.

Mohon ITBM terjemah buku baru
Walaupun sering menjadi mangsa tekanan pihak berkuasa, Kassim - bekas anggota Umno - tetap menulis tanpa menghiraukan semua itu.

NONEKini, ketika umur senjanya di angka 79 tahun, beliau turut membentangkan pandangan-pandangannya di media sosial yang digemari orang muda, termasuk blog dan Facebook.

Buku terbarunya Islamic Renaissance (kanan) keluaran penerbit Amerika Syarikat Branbowpress dilancarkan di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Kassim, yang selalu bersikap positif, bagaimanapun mahukan bukunya dicapai banyak pihak mendedahkan beliau sudah memohon agensi kerajaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dua minggu lalu supaya menterjemah buku itu.

Menurutnya, pengantar Islamic Renaissance dalam bahasa Melayu akan ditulis oleh pemerhati politik dan aktivis Dr Chandra Muzaffar, yang juga sahabat lamanya.

Buku baru kira-kira 250 halaman itu antaranya menegaskan pandangannya yang kritikal kepada hadis menggunakan method saintifik, termasuk teori "Kod 19" yang dipelopori Rashad.

Teori itu antaranya berpendapat jumlah perkataan dalam al-Quran disusun berdasarkan 19 perkataan atau gandaanya dengan tepat.

azlanIslamic Renaissance juga turut menyentuh perkembangan semasa politik, antaranya dengan beranggapan PAS yang "konservatif", DAP yang "didominasi Cina" PRK yang "Machiavellian"
tidak akan dapat menyelamatkan kepimpinan Melayu di negara ini.

Selain tulisan berbentuk sastera dan sejarah Melayu, buku-buku lain Kassim berkaitan agama dan perjalanan rohaninya termasuk Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik, Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam dan Universiti Kedua.

Dan seperti biasa, Kassim terus menunggu jawapannya seperti biasa dalam perpustakaan kecil rumahnya di Kulim - sebuah bandar kecil di Utara Semenanjung Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment