KUALA LUMPUR: [
sini]Menyertai parti PAS bukanlah satu
keputusan yang mudah bagi hero filem Leftenan Adnan, Hairie Othman malah
beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam
dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun ini.
Bagi Hairie,
keputusannya hari ini adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau
yakin akan hilang pekerjaan selepas menyertai PAS.
"Nak masuk
Umno ramai yang berani, nak masuk PAS satu keputusan kena fikir
lama-lama. Kalau nak masuk Umno tidak jadi isu. Kalau masuk PAS habis!!......
"Masuk
PAS? Nak makan apa? Saya yakin yang bagi rezeki kepada saya bukan BN
tetapi Allah Taala. Saya dapat rasa dan saya yakin," ujar beliau ketika
berucap dalam forum Artis Berpolitik: Sekadar Glamor atau Kerana
Prinsip? anjuran Akademi Pak Sako di Dewan Himpunan Cina KL-Selangor.
Malah
Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran
berlakon dan keadaan ini seperti sudah dijangka namun tidak sekali-kali
mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat.
Justeru, pelakon berusia 41 tahun ini memberitahu beliau mungkin tidak akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas ini.
"Saya
tanya orang ramai dalam Himpunan Hijau, selepas ini saya nak buat apa?
Nak mana apa? Mereka ramai-ramai jawab, apa lagi ceramahlah!" ujarnya.
Hairie
juga tidak bimbang kehilangan kerjayanya sebaliknya beliau kini sedang
giat aktif memenuhi undangan-undangan ceramah di merata tempat.
"Dari hari ini hingga bulan puasa, jadual ceramah saya penuh. Dan lepas raya pun saya ada 'job' (ceramah) lagi," katanya.
Bagaimanapun,
Hairie menolak dakwaan bahawa penyertaan artis dalam dunia politik hari
ini kerana tidak dapat projek dan kerjaya yang semakin malap.
"Sekarang
ini saya rasa lebih popular, kalau dulu rakan 'facebook' saya hanya
4000, hari ini rakan saya mencecah 12 000, naik mencanak dan orang lawat
laman saya itu dekat 200,000. Tidak popularkah itu?" tegas beliau.
Turut
hadir sebagai panel ialah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Parit Sulong yang juga merupakan penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi
Hashim atau popular dengan nama pena, Budi Hikayat. Serta wakil daripada
parti UMNO iaitu Presiden Persatuan Seniman, pelakon Zed Zaidi.
Bercakap
di hadapan hampir 100 hadirin, Hairie yang mewakili parti PAS berkata
keputusannya untuk menyertai parti berkenaan bukan kerana meraih
populariti sebaliknya ia adalah prinsip.
Jelasnya, untuk mengejar
glamor lebih sesuai berada dalam bidang seni bagaimanapun ia menjadi
satu kelebihan memandangkan beliau adalah seorang pelakon.
"Secara
dasarnya kalau kita bercakap soal politik mestilah atas dasar prinsip.
Saya ni masih baru jer lagi dalam dunia politik. Saya pilih untuk
menyertai parti atas dasar prinsip. Perjuangan PAS berlandaskan Islam.
Pada mulanya tujuan saya adalah mahu mengubah diri daripada kurang baik
kepada menjadi seorang insan yang lebih baik. Jadi saya merasakan parti
PAS sesuai dengan jiwa saya", hujah Hairie.
Hairie juga merelakan PAS menggunakan khidmatnya untuk berkempen bagi menarik ramai undi dalam pilihan raya nanti.
"Saya
rela membenarkan rakyat menggunakan khidmat saya untuk tawan
Putrajaya," tegasnya yang merasakan tidak timbul isu artis dijadikan
alat politik.