Aspan Alias,[HD]
Saham FGV (Felda Global Ventures) ditutup dengan harga RM5.39 semalam.
Ini bermakna FGV telah mendapat kenaikan harga sebanyak 84 sen. Tahniah
kepada sesiapa yang mendapat tawaran dengan jumlah yang besar yang
telah dibahagi-bahagikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa
baru-baru ini.
Jika Isa Samad misalnya mendapat 5 juta saham semasa penyenaraiannya
maka Isa telah mendapat keuntungan sebanyak RM4 juta jika beliau
menjualnya kepada pasaran hari semalam.
Tetapi yang saya hendak bertanya agaknya berapalah peneroka-penoroka
dapat hasil dari penjualan 810 unit saham yang diheboh-hebohkan oleh
pihak kerajaan itu? Jika mereka menjual saham-saham yang mereka beli
melalui pinjaman bank itu, boleh ke tidak peneroka dapat membeli
setidak-tidaknya sebuah kereta kancil ‘second hand’?
Seperti
mana yang kita semua ketahui peneroka telah diperuntukkan sebanyak 810
unit saham sahaja bagi satu keluarga. Kalau dipatah-patahkan jari untuk
membuat perkiraan ia bermakna peneroka hanya mendapat RM680 sahaja.
Pendeknya peneroka tidaklah mendapat sebanyak mana. Kalau kita dengar
publisitinya dahulu seolah peneroka akan menjadi kaya raya
setidak-tidaknya dapatlah setengah juta seorang, kerana peneroka telah
memerah keringat mereka selama lima dekad lamanya.
Setelah ditolak kos ‘processing’ sebanyak RM200 maka sekeluarga
peneroka akan hanya mendapat sebanyak RM480 sahaja. Itu untuk satu
keluarga. Kalaulah keluarga peneroka ada seramai 6 orang maka, seorang
ahli keluarga mendapat RM48 seorang. RM48 itu jika dibelikan rokok
Lucky Strike yang saya hisap itu maka setiap ahli keluarga peneroka
dapatlah sebanyak 4 kotak sahaja......
Jika harganya naik sampai RM10 sekali pun sebuah keluarga peneroka
hanya mendapat RM8,100 sahaja dan itu belum ditolak kos ‘pemprosesan’
yang dikenakan oleh CIMB misalnya. Dalam isu ini kita nampak peneroka
hanya mendapat air tangan sahaja. Yang mendapat keuntungan besar ialah
orang-orang kaya dan besar-besar yang tidak pernah menjejak kaki ke
tanah rancangan Felda itu.
Setelah bertungkus lumus selama 50 tahun peneroka hanya boleh
diibaratkan seperti kerbau yang membajak sawah pagi ke petang, tetapi
tikus yang gemuk-gemuk memakan dengan enaknya di kepuk padi. Bagi saya
peneroka-peneroka telah dipergunakan oleh pihak yang melakukan
penyenaraian itu.
Tetapi apakan daya peneroka begitu terloncat-loncat kegembiraan
kerana percaya kepada tindakan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO Baru
itu. Dalam isu ini peneroka-peneroka tidak boleh menyalahkan mana-mana
pihak kerana segala usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk
membatalkan penyenaraian itu tidak mendapat kerjasama dari peneroka.
Sekarang ada peneroka yang sudah mula merasakan mereka telah
dipergunakan oleh pimpinan kita untuk kepentingan saku mereka (pimpinan)
sahaja. Bagi kami yang tidak boleh berbuat apa-apa kami hanya boleh
berkata di dalam hati kami “padan muka!” sahaja.
Tidak tahu lah berapa lama peneroka sekeluarga boleh bertahan dengan
seribu dua hasil dari penyenaraian itu. Mereka sahajalah yang akan
merasakannya. Tetapi apa yang mereka akan dapat tahu tidak lama lagi
ialah mereka sebenarnya tidak lagi ada kena mengena dengan FGV. KPF
tidak mempunya apa-apa saham dalam FGV. KPF hanya mempunya saham dalam
‘special purpose vehicle’ (SPV), Felda Asset Holdings yang mempunyai
saham besar di dalam FGV. Dividen dan sebagainya akan diterima oleh
Felda Asset Holding sahaja. Lain-lain perkataan peneroka memang sudah
terpisah dengan FGV bermula dari sekarang.
In the first place, apa perlunya Felda disenaraikan kalau
tidak kerana kepentingan setengah pihak yang berwajib? Selalunya
syarikat akan disenaraikan di pasaran saham hanya kerana satu dua sebab
sahaja dan Felda tidak mempunyai alasan untuk disenaraikan.
Pertamanya jika seseorang itu telah berjaya membina syarikat peribadi
mereka dengan jayanya dan ingin untuk berehat kerana elemen umur dan
sebagainya mereka akan senaraikan di pasaran jika telah melepaskan
syarat-syarat yang ditetapkan. Empunya syarikat akan menjual setengah
dari saham mereka kepada ‘public’ dan mereka akan memberikan pemegang
saham yang baru untuk menguruskan syarikat yang telah disenaraikan itu.
Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang baru disenaraikan itu dengan
persetujuan mesyuarat agung syarikat untuk melantik ahli-ahli lembaga
pengarah serta pengurus-pengurus yang berkelayakan untuk meneruskan
perniagaan syarikat tersebut.
Sebab keduanya ialah jika syarikat yang ingin mengembangkan
perniagaannya, mengapungkan sahamnya dipasaran merupakan cara yang
paling lazim kerana dengan cara itu syarikat akan memperolehi dana awam
untuk kegunaan memperkembangkan perniagaan syarikat.
Tetapi dalam kes Felda ini apa perlunya ia disenaraikan kerana Felda
yang dikatakan sangat berjaya itu memperolehi perolehan sebanyak RM4
sehingga RM5 billion setahun? Felda tidak perlu mendapatkan dana dari
terbitan awam tetapi kenapa ia disenaraikan juga?
Pendeknya penyenaraian Felda ini sebenarnya hanyalah untuk
kepentingan pihak lain, bukannya untuk kepentingan peneroka
kita…...kadang-kadang sedih juga melihat bagaimana peneroka yang telah
berhempas pulas untuk meneroka tanah itu selama lima puluh tahun
akhirnya setelah begitu berjaya datanglah pihak lain untuk meraih
keuntungan dari penat dan jerih peneroka-peneroka selama lima dekad itu.
Peneroka hanya disogok sebanyak RM15 ribu untuk memudahkan peneroka
bersetuju untuk melakukan kerja yang amat menyayat hati kepada siapa
yang nampak tujuan tidak molek setengah pihak untuk menyenaraikan
saham-saham Felda kepada awam.
Tapi nak kata apa? Pemimpin utama kita lupa pada dasar asal Felda itu
ditubuhkan. Nampaknya peneroka sekarang ini dapat untung secupak
ruginya segantang.