02 Julai 2012

KOTA BHARU:[HD] Ketika kerajaan pusat masih menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum, sebaliknya bijih besi pula ditemui di bumi negeri ini.
 Bijih besi tersebut sekarang dieksport sebanyak 40,000 tan metrik setiap minggu melalui Tok Bali ke China.
Kapal dari China kini berlabuh kira-kira 1.4 batu nautika dari pantai Tok Bali bagi mengangkut bijih besi, di mana ia diangkut ke kapal menggunakan 20 tongkang dari jeti di Tok Bali. (Gambar atas)
 Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, sebelum ini bijih besi tersebut dieksport ke China melalui pelabuhan di Kemaman dan Kuantan yang melibatkan kos agak tinggi.
 “Namun sekarang bijih besi tersebut dieksport melalui pelabuhan di Tok Bali yang ternyata lebih menjimatkan kos pengangkutan,” katanya menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) pada persidangan Dun hari ini.

 Beliau berkata, hasil royalti tersebut dijangka dapat menampung kos pembinaan pembinaan lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.

Menurutnya daripada hasil royalti besi sekurang-kurangnya dapat menampung bayaran tertunda projek lebuh raya berkenaan yang ditetapkan dalam masa 25 tahun.

“Kita telah berusaha memecahkan benteng kongkongan dan halangan oleh kerajaan pusat sebelum ini. Idea yang dicetus Menteri Besar bagi mengamalkan konsep wakaf sebagai satu nilai tambah.

“Usaha itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan biar pun promosinya belum dilakukan secara meluas, namun dana yang disumbang secara online sekarang sebanyak RM430,000,” ujarnya.

Kata beliau kerajaan negeri akan mewujudkan dana amanah di bawah Perbendaraan Negeri bagi mengurus sumbangan orang ramai.

Malah pada 7 Julai ini artis-artis yang menyertai PAS akan mengadakan program khusus bagi menyokong projek lebuh raya rakyat.

“Pada Ramadan nanti kita juga akan lancarkan kutipan dana di Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai turut sama menyumbang,” ujarnya.

Husam juga memberitahu lapan juruukur yang mengambil alih peranan juruukur awal menyiapkan jajaran projek lebuh raya rakyat sudah berjaya menyiapkan kerja-kerja ukur sepanjang 30 km.

Kata beliau kerja-kerja mengukur jajaran jalan raya tersebut sebenarnya sudah disiapkan pada 2007, namun juruukur yang terbabit tidak dbenarkan menyerahkan laporan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut dijangka akan dimulakan selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

Menurutnya jentera berat milik syarikat juga sudah berada di lokasi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan.

“Kita akan laporkan setiap minggu perkembangan projek pembinaan lebuh raya tersebut selepas ini bagi pengetahuan rakyat,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment