GENEVA, Switzerland - Saintis-saintis makmal Organisasi Eropah Untuk
Penyelidikan Nuklear (CERN) bersorak gembira selepas mereka menemui
partikel subatom baharu yang menyerupai partikel Higgs Boson yang dicari
selama ini, kata satu kenyataan makmal berkenaan di sini semalam.
CERN merupakan makmal terbesar di dunia yang melakukan eksperimen perlanggaran antara atom.
Partikel baharu itu juga digelarkan sebagai 'partikel Tuhan'....klik tajuk
Pengumuman tentang penemuan itu dibuat oleh beberapa saintis CERN
kepada media di sini semalam selepas didedahkan pada satu seminar
tentang partikel berkenaan.
Penemuan itu menjelaskan tentang aspek kenapa semua benda di alam semesta mempunyai berat dan bentuk.
Partikel baharu itu akan 'melekat' pada benda yang membolehkan sesuatu benda tersebut mempunyai bentuk dan saiz.
"Kami kini menemui elemen penting yang membuka lembaran baharu bidang
fizik partikel," kata Pengarah CERN, Rolf Heuer kepada sekumpulan
saintis di sini.
"Pendek kata, saya berpendapat kami telah berjaya. Kami menemui
partikel baharu yang konsisten dengan Higgs Boson," tambahnya seperti
dilaporkan agensi berita dpa.
Nama Higgs Boson datang daripada seorang ahli fizik Britain, Peter
Higgs yang membayangkan kewujudan partikel pemberi jisim pada alam
semesta ketika dia bersiar-siar di Pergunungan Cairngorm, Scotland, pada
tahun 1964.
Partikel tersebut dilihat sebagai kunci kepada pemahaman tentang
kenapa setiap objek mempunyai jisim yang apabila bercantum dengan
graviti, akan memberikan berat pada objek berkenaan.
Penemuan terbaharu ini dilihat sama pentingnya dengan penemuan graviti oleh saintis Britain, Isaac Newton.
Pengetahuan tentang partikel Tuhan dapat memberikan pelbagai kegunaan dan faedah kepada para saintis.
Penemuan itu diperoleh selepas beberapa eksperimen dilakukan dengan
menggunakan sebuah mesin penghentam atom CERN juga dikenali sebagai
Penghentam Hadron Besar (LHC) yang berharga AS$10 bilion (RM31.5
bilion).
Mesin itu dibina di sempadan Switzerland-Perancis. - Agensi