LONDON 14 Julai - Seorang kanak-kanak Britain berusia sembilan tahun
yang digelar sebagai 'Mini Monet' bakal menjadi jutawan tidak lama lagi
selepas 24 hasil lukisannya dijual dengan harga 250,000 pound (RM1.3
juta) dalam tempoh hanya 15 minit.
Kieron Williamson, berasal dari Norfolk dekat utara England,
memperoleh hasil jualan lumayan tersebut selepas lukisannya dijual
menerusi bidaan yang dibuat melalui panggilan telefon dan Internet.
Kanak-kanak itu mula melukis semasa melancong bersama keluarganya ke
Devon dan Cornwall pada 2008 dan sebelum itu dia hanya mewarnakan gambar
dinosaur yang dilukis oleh ibu bapanya.....
Namun sejak itu, dia menjadi pelukis sensasi yang terkenal di seluruh
dunia selepas hasil lukisannya dibeli dengan harga berpuluh-puluh ribu
pound.
Kesemua 24 lukisan yang dijual baru-baru ini termasuk dua lukisan
landskap yang bernilai 34,950 pound (RM172,041) setiap satu dan lukisan
pastel yang hanya memerlukan masa beberapa minit untuk disiapkan, dijual
dengan harga 6,000 pound (RM29,534) hingga 7,000 pound (RM34,457).
Kali pertama hasil seni Williamson dijual di pasaran adalah pada
2009. Sebanyak 19 lukisannya yang bernilai 14,000 pound (RM68,914) habis
dijual dalam satu acara lelongan yang diadakan secara tertutup.
Tiga bulan kemudian, 16 lukisannya dijual dengan nilai keseluruhan
17,000 pound (RM83,682 ) dalam tempoh 14 minit semasa kali kedua dia
menyertai pameran di Galeri Picturecraft.
Dia kemudiannya meraih 106,260 pound (RM523,063) pada November lalu
selepas 12 lukisannya dijual dalam tempoh 10 minit 50 saat. - AGENSI