29 Ogos 2012

JOHOR BAHARU, 29 Ogos —Barisan Nasional (BN) dicadang supaya menyenaraikan 50 peratus calon berusia 50 tahun ke bawah dalam usaha untuk menarik sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Anggota Parlimen Pulai dan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika kaedah itu digunakan, ia diyakini akan memberikan kemenangan besar kepada BN pada PRU-13 sekaligus menyediakan calon muda untuk menghadapi PRU-14.
“Pengundi mahu melihat perubahan nyata dalam BN dan Umno bukannya sekadar retorik. Mereka hanya akan percaya jika parti menampilkan calon muda bukan memilih semula calon orang lama dan kemudian baru menjanjikan perubahan.
“Jika pucuk pimpinan parti menetapkan sasaran untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga itu, apa yang BN dan Umno perlu lakukan?...Jawapannya, letakkan calon muda yang
berkelayakan untuk meneruskan perkhidmatan yang kita lakukan sejak 55 tahun lalu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam PRU 2008, pembangkang mengetengahkan hampir 70 peratus muka baharu dan 50 peratus adalah orang muda, sekaligus berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN.
 Nur Jazlan berkata, jika rakyat tidak melihat proses peralihan kuasa dalam parti itu sendiri, BN akan ditolak pengundi dalam PRU-13, walaupun mungkin tidak secara keseluruhan tetapi kesan sebenar akan dapat dilihat pada PRU-14.
“Bukan hendak menidakkan sumbangan dan jasa orang lama dalam parti tetapi mereka juga perlu sedar hakikat bahawa mereka tidak boleh terus bergantung  kepada kuasa dan jawatan itu buat selama-lamanya,” kata beliau.
Katanya, orang lama dan golongan veteran terutama sekali di kalangan  wakil rakyat perlu membuat pengorbanan terhadap parti, kerana itulah yang menjadi kekuatan dalam BN dan Umno.
“Sekiranya, mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan keramat ini, buatlah pengumuman beramai-ramai secara terbuka untuk mengundur diri dan nyatakan sokongan terhadap calon baharu yang dipilih pucuk pimpinan”.
Beliau berkata, golongan muda profesional semakin kurang dalam Umno dan jika perkara itu tidak ditangani dengan segera, parti akan kekurangan calon untuk memenangi hati dan fikiran pengundi pada pilihan raya umum.
Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin veteran di dalam Umno memberi laluan kepada pemimpin muda secara sukarela kerana usaha itu amat penting dalam membantu proses peremajaan semula parti dalam memastikan rakyat terus menyokong Umno dan BN. — Bernama

0 Comments:

Post a Comment