KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Cerita seorang penceramah mengenai ada
orang Melayu malu-malu untuk melaungkan takbir kerana takut dianggap
penyokong sebuah parti pembangkang, menunjukkan kekeliruan sudah
tertanam bahawa yang berhak melaungkan takbir di dalam majlis hanyalah
penyokong pembangkang.
Ia adalah gambaran pemikiran lama dan salah, kononnya hanya penyokong
parti pembangkang bertakbir. Salahnya, kerana takbir bukan hak eksklusif
sesiapa, malah mana-mana umat Islam berhak untuk bertakbir.
Begitu juga hak memakai kopiah putih mahupun semutar. Sesiapa pun boleh
memakainya dan ia tidak melabelkan pemakainya sebagai penyokong
pembangkang.
Menurut penceramah itu, dalam sebuah majlis yang disertai anggota Umno
juga, keadaan serupa terjadi di awalnya apabila mereka malu-malu apabila
diajak bertakbir.....klik tajuk
Mungkin kerana menyedari adanya kekeliruan seperti itulah, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali menjelaskan bahawa
perjuangan kerajaan persekutuan yang ditunjangi Umno adalah berteraskan
tuntutan Islam di bawah konsep Maqasid Al-Shariah.
Perjuangan Umno berlandaskan Islam, malah memartabatkan Islam, bukanlah
baharu kerana ia sudah berlangsung sejak dulu, sehingga kini dan
berterusan selamanya, biar sekuat mana pun percubaan pembangkang
menidakkannya.
Dasar itu, yang diamalkan kerajaan ialah memelihara dan memperkasa
Islam namun pada masa sama, ia memelihara jiwa dan menghormati hak asasi
manusia baik untuk orang Islam mahupun bukan Islam.
"Jauh sekali kita meminggirkan Islam ataupun ketepikan Islam tetapi
perjuangan kita ialah perjuangan yang dituntut oleh Islam," kata Najib
pada satu majlis baru-baru ini.
Tuduhan kononnya Umno, parti terbesar di negara ini tidak mempertahan
atau memperjuang Islam, sangatlah dangkal dan dibuat oleh pihak yang
berkepentingan sempit atau memang berfikiran cetek. Ini kerana mereka
buta mata hati untuk melihat bahawa Umno meletakkan Islam sebagai Agama
Persekutuan, seperti tercatat dalam Perlembagaan, yang jauh lebih tinggi
kedudukannya daripada sekadar sebagai agama rasmi.
Wajar dilihat satu persatu usaha Umno mempertahan Islam secara
berterusan sejak merdeka selama 55 tahun dahulu, dan bukannya hanya
baru-baru ini sahaja.
Perlembagaan Umno dalam Fasal 3 - Asas dan Tujuan Umno mencatatkan
bahawa ditubuhkan Umno ialah mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi
mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Di bawah perkara 3.2 fasal yang sama, perlembagaan parti terbesar orang
Melayu itu juga menyebut ia bertanggungjawab menegak, mempertahan dan
mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip
kebebasan beragama.
Ini adalah dua perkara pokok yang ditetapkan di dalam perlembagaan
Umno. Jadi di manakah kebenaran dakwaan bahawa Umno itu menolak Islam?
Tuduhan bahawa anggota Umno tidak Islamik adalah berniat jahat dan
dilakukan kerana pembangkang sudah terdesak serta kehabisan modal untuk
mencuba menghakis dan mengikis keyakinan orang Melayu terhadap Umno.
Pembangkang terdesak kerana pilihan raya umum ke-13 sudah hampir dan
banyak petanda menunjukkan bahawa orang Melayu, Islam, kian ramai
kembali menyokong Umno.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
pernah menyebut bahawa tuduhan PAS kononnya Umno tidak memartabatkan
Islam serta memperalatn agama bagi tujuan politik merupakan satu fitnah
yang sengaja dicetuskan untuk mengelirukan rakyat.
Tidak Islamkah Umno yang berjuang tanpa penat lelah menunaikan segala
janji kepada rakyat? Lebih Islamkah PAS yang hanya menabur janji tetapi
bukan untuk ditepati?
Banyak bukti kesungguhan Umno, melalui kerajaan BN, berjuang
memartabatkan Islam. Antaranya ialah penubuhan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tabung Haji untuk memudahkan urusan rakyat
menunaikan rukun Islam kelima, institusi zakat dan perbankan, penekanan
terhadap pendidikan Islam di sekolah rendah, menengah hingga ke
universiti.
Jauh lebih mendalam ialah penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran
kerajaan yang diterajui Umno selain projek-projek prasarana keagamaan
yang berterusan dilakasanakan sejak dahulu.
Mengikut maklumat Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) terdapat sebanyak 7,112 masjid dan surau di seluruh
negara dengan 640 adalah kategori surau yang melaksanakan solat fardu
Jumaat.
Selain memberi perhatian kepada prasarana, Jakim juga bertanggungjawab
terhadap pembangunan sahsiah dan modal insan guru dan pegawai agama
termasuk di dalam pembayaran elaun guru Kelas Ffardu Ain dan Al-Quran
(KAFA), Imam, dan guru takmir.
Kenaikan kadar elaun guru KAFA dan Imam yang memberi manfaat kepada
guru KAFA dan Imam di seluruh negara dilaksanakan mulai Januari 2011.
Lebih 32,000 guru KAFA menikmati kenaikan elaun daripada RM500 kepada
RM800.
Elaun untuk Imam pula adalah sebanyak RM800 diberikan kepada 14,254 orang.
Selain itu, sebanyak RM11.5 juta diperuntuk untuk membaik pulih, naik
taraf dan penyelenggaraan masjid seluruh Malaysia, susulan keputusan
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang
dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.
Pembinaan baru serta naiktaraf surau luar bandar juga dibiayai dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Ini merupakan sebahagian kecil contoh keprihatinan kerajaan BN yang
ditunjangi Umno dalam mempertahan dan meningkatkan martabat agama Islam.
-- BERNAMA