SHAH ALAM - Tindakan mengaitkan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah
Anwar berhubung “tiada paksaan dalam agama” seolah-olah menggalakkan
gejala murtad adalah satu rumusan tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof
Rawa berkata, kenyataan “tiada paksaan dalam agama” adalah prinsip
kemuliaan Islam tetapi ini bukan bermakna ia menggalakkan kemurtadan.
"Mengaitkan prinsip ini dengan rela murtad menunjukkan kecelaruan
pemikiran golongan sempit agama termasuklah sesiapa yang mengulangnya
tanpa fahaman. Saya ada dalam
majlis itu sebagai pembicara.
"Kenyataan ahli Parlimen Lembah Pantai itu dianggap seolah-olah
menggalakkan kemurtadan adalah satu rumusan yang tidak
bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dr Mujahid merupakan antara panel yang hadir bersama-sama Nurul Izzah
dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? di
Subang Jaya Sabtu lalu.
Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, Nurul Izzah dalam forum
tersebut juga menyebut tentang perlunya pendidikan dan dakwah supaya
agama Islam dipelihara.
"Tiada paksaan bukan bermakna orang Melayu sewenangnya memilih agama
lain kerana Islam itu penghayatan. Itulah semangat ucapan Izzah apabila
menjawab soalan dari peserta tentang 'no compulsion'," katanya.
Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan prinsip mulia
'tiada paksaan' sebagai promurtad telah mencemarkan nama baik Islam.
"Itu bukan apa yang diperkatakan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai," katanya.[
SH]