KUALA LUMPUR, 13 Dis — Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), sebuah badan
perundangan Indonesia akan menghantar surat bantahan kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengkritik kenyataan bekas menteri
Umno Tan Sri Zainuddin Maidin kerana menggelar bekas presiden mereka,
B.J. Habibie sebagai “anjing imperialis”.
Perwakilan MPR mengambil sikap tegas di atas kenyataan Zainuddin, yang menambahkan ketegangan di antara kedua-dua negara.
Speaker MPR, Pramono Anung dilaporkan oleh
Jakarta Globe hari ini bahawa bekas menteri penerangan itu harus mengetahui cara untuk berkomunikasi dengan baik dan penuh kesopanan.
Beliau juga memberi amaran kenyataan sedemikian mungkin menjejaskan hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.
“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri Malaysia, kita membantah kenyataannya.
“Kita berharap tindakan yang tegas perlu diambil kepada beliau,
kerana ia datang dari bekas menteri penerangan,” katanya di dalam akhbar
berbahasa Inggeris itu.
Zainuddin mengkritik Habibie yang memberi syarahan umum di Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam
Utusan Malaysia Isnin
lalu, dengan memanggilnya sebagai “sombong” dan menyamakan beliau
dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengakhiri
artikel tersebut dengan memanggil mereka “anjing imperialis”.....klik tajuk / [
TMI]
“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana terseksanya penonton [di
Unisel] untuk mendengar seorang lelaki yang egonya tinggi, terutamanya
selepas dia akhirnya mendapat peluang untuk bercakap di hadapan mereka
yang dia anggap sebagai bodoh, selepas sekian lama rakyat Indonesia
tidak mahu mendengar atau menghormatinya,” kata Maidin di dalam ruang
editorial
Utusan, menurut
Jakarta Globe.
Pengerusi parti pemerintah Indonesia Parti Demokratik Anas Urbaningrum juga membantah kenyataan Zainuddin.
“Bekas menteri dari Umno itu perlu diajar cara-cara untuk
bersopan.“Dia tidak seharusnya mengheret mantan Presiden Habibie dalam
persaingan politik mereka dengan menghinanya. Ini tidak sepatutnya
berlaku,” kata Anas lagi.
Beliau juga menyeru pemerintah Indonesia untuk menuntut maaf dari
Zainuddin kepada Habibie ke atas penghinaannya, kata akhbar itu lagi.
Selasa lalu, Menteri Luar Marty Natalegawa berkata, Jakarta tidak
melayan artikel tersebut dan menganggap itu cuma “perkara remeh”.
Menteri itu dilaporkan berkata bahawa kenyataan Zainuddin adalah
“gila”, tetapi tidak berminat untuk membaca artikel tersebut, dengan
menambah bahawa kerajaan mempunyai banyak tugas berbanding memberi
tumpuan kepada seorang bekas menteri dari Malaysia.
Semalam, timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mahu Zainuddin
memohon maaf atas penghinaannya ke atas Habibie dan Anwar, dengan
berkata kenyataannya dapat menambah ketegangan Malaysia dan Indonesia.