13 Disember 2012

UMNO dan PAS tidak perlu berhenti bersaing jika persaingan mereka itu bertujuan menawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Persaingan untuk memberikan khidmat adalah persaingan yang sihat dan memberikan kebaikan untuk negara. Tidakkah kita lihat bahawa kewujudan persaingan di pasaran membolehkan orangramai mendapat barangan yang lebih berkualiti. Sementara monopoli tanpa saingan akan merosakkan kualiti khidmat dan merugikan orang awam.
Persaingan PAS dan UMNO jika atas dasar ingin menawarkan khidmat yang lebih baik, bukan kerana dendam dan permusuhan yang lahir dari politik kepuakan, akan memakmurkan masyarakat muslim secara khusus dan negara secara amnya. Jika persaingan itu atas slogan yang Allah firman (maksudnya) “Bersegeralah kepada kebaikan”(Surah al-Maidah, 48) maka ia menjadi pahala kebajikan untuk semua pihak yang terlibat.
Saingan Politik
Seperti yang selalu ditegaskan, pada asalnya, Islam tidak suka perasaan tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang Allah redha. Keinginan mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini. Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi s.a.w:..... tajuk / Dr MAZA


“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah:
“Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan kedudukan dan nama hanya akan menambahkan penyesalan di akhirat dan melemahkan jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain. Ini seperti yang al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf a.s : (maksudnya) Yusuf berkata:
“Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).
Kata Ibn Taimiyyah rh (meninggal 728H):
“Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan untuk kebaikan agama, itu bukan sesuatu yang menyanggahi pergantungan kepada Allah, tidak juga termasuk dalam pemintaan jawatan yang dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan)
Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini:
“..demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Saling Memerlukan
Persaingan PAS dan UMNO adalah sesuatu yang baik jika mengujudkan keadaan ‘check and balance’ antara penguasa dan rakyat. Ia akan menghidupkan suasana amar makruf dan nahy munkar (promoting good and forbidding evil). Tindakan pemerintah akan diteliti oleh pembangkang dan tindakan pembangkang adalah mewakili kemaslahatan rakyat. Maka wujudlah pemerintah yang berkualiti dan pembangkang yang bermanfaat. Keduanya membawa kebaikan kepada rakyat dan keduanya berlumba-lumba untuk mencari pahala dalam lapangan politik.

Saya masih ingat, pernah semasa saya berbual bersendirian dengan Tun Abdullah Badawi di London, beliau menyebut: “UMNO memerlukan PAS. Kewujudan PAS menjadikan UMNO sentiasa beringat dengan tindakan mereka. Tanpa PAS, UMNO akan terlupa dan tidak berhati-hati terutama berkaitan Islam”. Saya percaya itu ucapan yang bukan atas kepentingan politik. Dalam persada politik Malaysia, menghapuskan persaingan antara PAS dan UMNO bukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan umat. Bahkan itu boleh menjurus ke arah monopoli, kerakusan, bertambah berleluasanya rasuah, hilangnya sifat berhati-hati dalam tindakan dan pelbagai lagi.
Apa Yang Perlu Dihapuskan?
Malangnya, hal ini kadang-kala tidak berlaku. Persaingan politik dikendalikan atas kepentingan diri ataupun puak, bukan untuk kepentingan rakyat lagi. Perlumbaan melakukan kebaikan itu dipadamkan oleh banyaknya perlumbaan menghapuskan pesaing politik. Berlakunya manipulasi isu dari kedua belah pihak. Kedua pihak akhirnya menerima padah; maruah dan nilai tercemar. Kelantan yang dikuasai PAS telah menjadi mangsa buli sekian lamanya. Hal yang sebaliknya juga berlaku apabila segala tindakan pemimpin UMNO jarang dinilai positif oleh PAS. Politik prasangka memenuhi ruang. Kerakusan kuasa dan harta meruncingkan lagi permusuhan itu.
Persaingan yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan dan menghalang keburukan bertukar menjadi persaingan yang membawa keburukan dan menghalang kebaikan. Media kerajaan yang menggunakan wang rakyat hanya diberi ruang kepada satu pihak sahaja untuk mencerca pihak yang lain semahunya. Idea-idea politik dan pembangunan dari pihak yang bersaing tidak mendapat ruang yang adil dalam media kerajaan. Padahal, jika niat benar-benar untuk pembangunan rakyat, apa salahnya idea-idea baik itu didengari oleh rakyat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekalipun dari pembangkang. Namun itu tidak berlaku. Politik idea dibunuh oleh politik permusuhan puak dan peribadi. Dalam masa yang sama, ceramah dan ucapan pembangkang juga banyak yang bukan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas, tetapi lebih kepada menyerang keburukan-keburukan peribadi pihak lain. Sedaya mampu hanya untuk mencari salah dan silap, sekalipun dalam perkara peribadi orang lain. Seakan mesejnya; ‘pilihlah kami, kerana mereka lebih buruk dari kami’. Sepatutnya, ‘pilihlah kami kerana kami dapat menawarkan servis yang lebih baik’.
Sikap dan pendekatan yang seperti ini patut dihapuskan. Sikap yang lebih rasional dan insaf perlu disuburkan.
Di Sebalik Lambang
Dalam UMNO dan PAS, ramai yang menilai pihak yang lain berdasarkan warna parti. Warna itu pula telah diberikan pelbagai persepsi permusuhan politik yang diapi-apikan oleh pelbagai keadaan dan pihak. Seakan, tiada lagi kebaikan yang boleh diharapkan di pihak yang satu lagi.
Hakikatnya, di sebalik nama dan lambang parti masing-masing, ahli-ahli PAS dan UMNO adalah muslim. Kehidupan ini bukan segalanya politik. Ya, ada muslim yang baik dan ada yang tidak mengamalkan agamanya. Sementara yang kuat beragama itu pula, bukan semestinya dia berjaya menghayati agama dalam setiap aspek. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Hal ini terpakai untuk semua orang tanpa mengira parti. Parti bukan agama. Parti mungkin berperanan dalam menggerakkan satu juzuk dari kehidupan bermasyarakat dalam negara ini. Orang PAS dan UMNO ada yang baik dan takutkan Allah. Ada yang cuba sedayanya mengamalkan agama apa yang mereka faham. Ada juga yang tidak pedulikan agama, ataupun mempergunakan agama. Berserban dan bersongkok bukan jaminan kebaikan untuk sentiasa dilakukan.
Bukan semua orang UMNO jahat, bukan semua orang PAS baik. Begitu juga sebaliknya. Mereka tidak lahir atas lambang parti. Mereka kebanyakan lahir sebagai orang muslim. Mereka mengakui Islam sebagai agama mereka. Allah menamakan mereka semua muslimin, sebelum mereka itu dikaitkan dengan nama parti mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. DIAlah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan dalam agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: ‘muslimin’ semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi untuk kamu, dan supaya kamu pula menjadi saksi untuk umat manusia. Maka, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan. (Surah al-Hajj, 78).
Kita Bersaudara
Tidak menjadi masalah bersaing dalam politik. Tidak menjadi masalah juga bercita menukar kerajaan atau mengekalkannya. Namun, antara orang PAS dan UMNO, di sebalik tembok parti, mereka kena ingat mereka saudara seagama. Banyak perkara dalam kehidupan ini yang mereka berkongsi perkara yang sama. Mereka percaya pada Allah yang sama, Nabi yang sama, al-Quran yang sama dan seterusnya. Banyak perkara pokok dan asas yang mereka sama dibandingkan perkara yang mereka berbeza. Walaupun pada juzuk politik mereka berbeza, mereka wajib menghormati hak sebagai saudara muslim dalam kehidupan ini. Perbezaan parti tidak boleh menghalang mereka dalam masa yang sama untuk kasih saudara seagama. Tidak wajar menghalang mereka untuk duduk berbincang dan berpakat perkara yang mereka sama-sama imani. Tidak wajar menghalangi mereka memberi salam dengan jujur dan melahirkan ukhuwwah islamiyyah tanpa dikaitkan dengan soal perbezaan pendekatan politik.

Gambar Hiasan
Sesiapa yang bersahabat dengan kedua pihak, akan menemui kebaikan yang wujud di kedua belah pihak. Mungkin kita tidak setuju dengan lambang tertentu, namun dalam kehidupan bukan semua yang disandarkan dengan lambang tertentu itu sentiasa seiras dengan lambangnya. Sesiapa yang taklid buta dengan menganggap segala yang dibuat oleh partinya benar bererti dia telah memaksumkan partinya. Sesiapa yang mengikut dan bersetuju dengan segala yang baik dan buruk dalam partinya bererti dia bagaikan kaldai yang tidak mampu menilai.
Maka, apabila seorang muslim dari PAS atau UMNO menghulurkan tangan kepada saudaranya, janganlah dipentingkan sangat partinya, lihatlah keluasan hidup ini dan hak-hak muslim atas muslim yang lain yang tercatat dalam agama ini. Akidah merentasi parti. Sentiasalah kita ingat firman Allah: (maksudnya):
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah, 8)

0 Comments:

Post a Comment