Malang jika modal sesetengah penceramah agama ialah maklumat yang
dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai kepada mereka. Ibarat kata, ‘
membujur lalu, melintang pukang‘.
Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan
menapis fakta. Maka, semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan.
Sehingga buku palsu “
Dialog Nabi s.a.w Dengan Iblis” juga dipercayai.
Antaranya, konon baginda Nabi s.a.w bertanya Iblis, “
apakah tempat yang paling engkau suka?”. Jawab Iblis “
panggung wayang”.
Walaupun, penceramah mungkin mempunyai tujuan tertentu. Namun kepalsuan
adalah musuh agama ini. Kita tahu pada zaman Nabi s.a.w belum ada
panggung wayang. Bagaimana mungkin istilah ini muncul? Sudahlah
cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai
sanad yang diterima,
ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita.....
.klik tajuk / [
Dr MAZA]
yang boleh menyebabkan
generasi yang berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama.
Al-Quran sendiri tidak menyebut peralatan senjata moden, sebaliknya
menyebut kuda, bagi memahamkan senjata terbaik ketika itu. Mana mungkin
pula hadis menyebut istilah yang tidak wujud di zaman tersebut.
Tak Logik
Ada pula yang membawa cerita, kononnya wali tertentu bersolat seribu
rakaat semalam. Walaupun itu disebut dalam sesetengah karya besar, namun
patut dinilai semula. Adakah satu malam mempunyai seribu minit untuk
dia bersolat seribu rakaat selaju seminit satu rakaat?!! Jika diambil
pukul lapan malam sehingga enam pagi pun, baru sepuluh jam bererti enam
ratus minit!!. Mampukah dia melakukan seribu rakaat?. Matematik sekolah
rendah pun dapat memikirkan hal ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang
agung itu, menurut ‘Aisyah r.a. dalam riwayat yang sahih oleh Abu Daud
dan al-Nasa’i bahawa solat malam baginda tidak melebihi sebelas rakaat.
Benarlah kata sesetengah sarjana hadis:
Apabila engkau melihat sesebuah hadis menyanggahi logik,
menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam,
maka ketahui ianya hadis yang palsu (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s.
182, Beirut: Dar al-Fikr).
Dongeng
Fonomena ini bukan sahaja berlaku dalam TV. Bahkan itulah realitinya
di luar TV. Masih ramai ustaz-ustaz kita yang kadang kala bermodalkan
cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan
hadis-hadis palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok
tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita
mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan
Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah
tidak bertindak demikian kepada umat NabiNya yang akhir. Tidak seperti
mana kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu
Jahal, atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Kedua-dua
tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut, atau kerana penyakit
misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum musliminlah yang
berjihad dan menghapuskan keduanya di medan pertempuran. Islam meminta
usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman Allah mengenai
cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w
(maksudnya): “Dan mereka berkata: Kami tidak sekali-kali
akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi
kami matair dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari
pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai
dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau
engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang
engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan
malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai
sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit;
dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit
sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami
membacanya.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini
hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”. Dan tiadalah yang menghalang
orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka
hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi
Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus
seorang manusia menjadi Rasul?” (Surah al-Isra`: 90-94).
Demikian dahsyat cabaran mereka, baginda tidak menyahutnya, kerana
bukan itu kehendak Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping menimpa
kepala mereka, namun baginda menjawab “
Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul”.
Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin
dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka
melalui sebab perjuangan golongan yang beriman.
Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa
cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabah.
Kononnya orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid, atau
kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh,
atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka
mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit
itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga
di atas hikmah yang lain. Ramai orang beriman lagi soleh juga sakit.
Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakannya andaian atau
tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil
kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik pembaca
setiap keluarannya. Sehingga ada orang bukan muslim membaca dan berkata:
“
Teruknya orang Islam, mati macam-macam jadi. Kita yang awak
katakan cakap kafir pun tidak jadi macam itu. Kalau macam ini takut kita
hendak masuk Islam. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah, mati pun tak
boleh senang”.
Masjid Jadi Pasar
Lebih dukacita lagi, sebahagian penceramah, menjadikan masjid dan
surau sebagai platform mengiklankan barang-barang jualan mereka. Atau
mengiklan produk-produk mereka yang disokong oleh dalil-dalil yang
kebanyakannya tidak benar. Namun masyarakat umum yang telah memberi
kepercayaan, ramai yang termakan. Akhirnya masjid menjadi pusat iklan
barangan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Sedangkan
peniaga-peniaga lain tidak ada peluang. Kalau satu syarikat diizinkan,
mengapa syarikat yang lain tidak? Jika semuanya diizinkan, jadilah
masjid bagaikan ‘
pasar lambak’ tempat peniaga mengiklankan barangan mereka. Barangkali inilah hikmat baginda Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di
masjid, maka katakanlah: ALLAH tidak akan menguntungkan perniagaanmu..”
(Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Cuma malangnya masyarakat kita, siapa sahaja yang dinobatkan sebagai ‘
ustaz’,
bagi mereka tentulah tahu semua benda dalam agama. Padahal, Islam
begitu luas lagi ilmiah. Mana mungkin hanya dengan bergelar ustaz dia
menguasai disiplin-disiplin yang hebat itu tanpa mempunyai kajian dan
kaedah kajian yang mantap. Apakah dianggap pengkaji Islam jika sekadar
mencetuskan beberapa lawak jenaka atau beberapa petua suami-isteri?!!.
Tukang Cerita
Dalam sejarah para ulama hadis sejak dahulu mengingatkan umat Islam tentang bahayanya golongan
qussas dan
wu’adz.
Golongan ini adalah antara yang paling berperanan menwujudkan hadis
palsu, atau menyebarkannya. Bahkan melalui mereka tersebarnya
Israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang
disandarkan kepada tokoh itu dan ini. Agama tercemar kerana mereka.
Secara ringkas kita terjemahkan
wu’adz dan
qussas sebagai para penceramah agama dan tukang cerita.
Mungkin kita akan bertanya, apakah bahaya? Tidakkah mereka ini
memberi nasihat di masjid dan surau kepada orang ramai. Orang ramai pula
dapat mengambil manfaat daripada mereka?!.Kita katakan, bahayanya bukan
kerana mereka memberikan nasihat, tapi bahayanya kerana ada isi
kandungan agama yang terkandung dalam ucapan-ucapan mereka banyak yang
tidak benar. Orang ramai terseleweng kerana mereka. Walaupun kita sedar
bukan semua penceramah begitu. Ramai juga penceramah yang berhati-hati
dalam penyampaian maklumat dan hadis-hadis yang dibaca. Namun lebih
ramai penceramah yang hanya memikirkan apa yang disukai oleh pendengar
semata. Kata Dr. Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql:
“Qussas mereka itu adalah wu’`azd yang mengadakan
majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana ianya menyanggahi majlis
ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan berbagai hikayat,
israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau palsu,
atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya” (Nasir bin `Abd
al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh
al-Islam, m.s. 44, Riyadh: Dar al-Watan).
Orang Awam Terpengaruh
Sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang
tulen. Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang dihuraikan mestilah memenuhi
disiplin keilmuan yang telah digariskan oleh para sarjana Islam. Kata
al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ketika mengulas mengenai tipu daya
iblis terhadap
wu’adz dan
qussas ini:
“…maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada
mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya
mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh
orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bid`ah dalam bidang ini… di
kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib
(menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap
maksiat).
Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: “tujuan kami ialah untuk
menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada
kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan
perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan
kepada penyempurnaan. Mereka lupa sabda Nabi S.A.W: “Sesiapa yang
berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam
neraka” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah).
Ceramah Cari Makan
Adalah menyedihkan jika ada pihak yang menganggap, ceramah agama
sebagai sumber mengumpul kekayaan. Tujuan ceramah ialah duit. Maka dia
mencetuskan apa yang dirasakan boleh menghasilkan duit. Lalu dia rela
mengorbankan ilmu dan fakta hanya kerana harta. Kata al-Syeikh Muhammad
‘Ajjaj al-Khatib:
“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya
pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta
hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai,
menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas
ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah
dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta
kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan
pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula
telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini
disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan
penelitian”.( Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424,
Beirut: Dar al-Fikr)
Inilah hakikat yang berlaku sehingga ke hari ini. Entah berapa ramai
penceramah tidak meneliti kedudukan fakta-fakta yang dikemukakan. Apa
yang mereka pentingkan ialah jempuan orang ramai dan kesudian mereka
untuk mendengar. Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn `Umar beliau
mengarahkan agar pihak berkuasa mengeluarkan mereka dari masjid dan
`Umar bin `Abd al-`Aziz pula memenjarakan mereka dan sesiapa yang duduk
dalam majlis mereka.( Lihat: Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa`
wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.).
Kesalahan mereka bukan kerana mereka memberi nasihat kepada orang
ramai. Rasulullah S.A.W. dan para ulama salaf juga memberi ceramah dan
nasihat kepada orang ramai. Namun yang salah ialah mereka menyebarkan
perkara-perkara palsu.
Menyandarkan maklumat palsu kepada Islam adalah sesuatu yang amat
haram. Malangnya perkara yang amat diharamkan syarak ini berlaku di
masjid-masjid. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang
ulama hadis al-Azhar):
“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis,
samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai periwayatan dan teks hadis).
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari
tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut. Apa yang
mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut
perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan
dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi
nasihat dan bertazkirah (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah
al-Hadith, m.s. 322, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi).