16 Januari 2013

PUTRAJAYA, 15 Jan- Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ciri-ciri positif penakluk dunia terkemuka antaranya mempunyai daya kekuatan dan ketahanan, kebijaksanaan berunding dan mampu bertindak sebagai satu pasukan.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata ciri-ciri itu membolehkan Alexander The Great, Genghis Khan, Asoka the Great, Tariq bin Ziad, Napoleon Bonaparte dan Hannibal The Great menakluki dunia dan kejayaan mereka diingati selama-lamanya.
Beliau berkata penjawat awam mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka jika menghayati ciri-ciri istimewa penakluk dunia itu termasuk visi yang menarik, kepimpinan luar biasa, kuasa motivasi, komunikasi, rundingan berkesan, daya ketahanan dan percaya terhadap kemampuan tentera mereka sebagai
satu pasukan kental.
"Dalam perspektif perkhidmatan awam, signifikasi dan kisah-kisah penaklukan luar biasa ini boleh dihayati dan dijadikan sumber tenaga dan inspirasi untuk menangkis tohmahan yang sering didengari seperti keengganan penjawat awam untuk mencabar status quo, membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak serta berkongsi sumber dan kepakaran.
"Kita tidak boleh berada di takuk lama ciptaan kita sendiri lalu menjadikan budaya silo atau keterpisahan serta ketaksuban menjaga sempadan masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Felo Intan dan penyampaian Diploma Intan 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, PICC, Selasa.
Pada majlis itu Tan Sri Ismail Adam dianugerah Tokoh Felo Intan 2012 manakala 458 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menerima Diploma Intan. -- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment