Guru tidur dalam kereta ditukar tergesa-gesa
BERA: Seorang guru terpaksa bermalam dalam kereta
akibat ditukarkan secara tergesa-gesa dari sebuah sekolah di Temerloh ke
sini oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang yang didakwanya
tidak berperikemanusiaan.
Azman Mohd Nazir, 40, berkata beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan
Felda Mayam dari Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dan diminta
mendaftar diri ke sekolah barunya pada 16 Januari tapi surat arahan dari
JPN itu hanya dapat ke tangannya pada 18 Januari.
“Akibat pertukaran secara tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan
ini, saya terpaksa tidur dalam kereta kerana belum ada kediaman. Tak
larat kalau nak berulang-alik dari rumah sejauh 140 kilometer sehari,”
katanya ketika ditemui setelah menerima laporan orang ramai...tajuk/.[
HD]
Katanya, beliau kesal arahan pertukaran dibuat dalam keadaan
tergopoh-gapah sehingga guru di sekolah barunya yang sepatut
digantikannya, belum berpindah lagi kerana belum mendapat surat tukar.
Tambahnya, sedangkan guru di sekolah lama tempat beliau mengajar masih belum diganti guru baru.
“Yang ruginya ialah murid-murid yang sepatutnya dapat pelajaran yang
sempurna. Tetapi oleh kerana saya menjadi seperti kambing hitam,
murid-murid pula terbabit sama menjadi mangsa,” katanya yang merupakan
guru prasekolah.
Katanya, di sekolah Paya Pulai (sekolah lamanya) selama dua tahun, beliau telah menyiapkan banyak bahan bantu mengajar.
“Saya juga banyak peranan dan sumbangan sebagai guru aset sekolah,
guru penyelaras kelas prasekolah, jurulatih catur, guru pembimbing
pelatih praktikal, AJK projek perintis I-Think sekolah dan AJK PIBG,”
ujarnya.
Ditanya sebab pertukaran, Azman beliau tidak menolak disebabkan
faktor politik memandangkan beliau tidak mempunyai masalah moral tetapi
mengakui aktif bersama program-program PAS.
Baginya, pertukaran secara tergesa-gesa itu satu penganiayaan dan
salah guna kuasa kerana diarah berpindah secara tidak bertamadun.
“Saya masih pegang keratan akhbar kenyataan Timbalan Menteri
Pelajaran (Datuk Fuad Zarkashi) yang mengatakan pertukaran mengejut akan
dikaji semula dan akan pastikan lebih jelas supaya prosedur difahami
lebih jelas.
“Prosedur biasa pertukaran hanya dua kali setahun iaitu bulan Jun dan Disember,” katanya.
Beliau mengakui banyak kali ditukar sekolah sejak berkhidmat sebagai
guru dipercayai atas sebab politik. Tetapi baginya, aktiviti politik
dilakukannya di luar waktu bertugas dan beliau tahu sempadan antara
tugas berkhidmat sebagai guru dan tugas sebagai ahli parti.
“Sekarang saya terpaksa tidur dalam kereta. Mujurlah PAS Cawangan
Mayam bermurah hati mempelawa saya tidur di markas pada masa akan
datang,” katanya.
Azman yang belum berumah tangga, berkata beliau menjaga ayahnya yang
tinggal bersendirian di Taman Sri Semantan Temerloh. Apabila ditukarkan,
jiwanya merasa sedikit tertekan.
Turut sama menziarahi Azman ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan
Bera Musaniff Abdul Rahman dan Setiausaha PAS Kawasan, Mohd Wali Ahmad.