Sila rujuk drmaza
Ramai dalam sejarah insan-insan yang ditabalkan sebagai pejuang. Rekod
kehidupan mereka membuktikan bahawa mereka memang pejuang. Mereka berani
menanggung risiko perjuangan. Mereka bukan sahaja sanggup berkorban
tetapi benar-benar telah berkorban kerana perjuangan mereka. Mengharungi
rintangan yang pahit dan cabaran yang getir sehingga mahu tidak mahu
mereka diiktiraf oleh sejarah. Jika tidak pun pada hari mereka hidup,
mereka akan diiktiraf selepas mereka mati. Jika tidak diiktiraf oleh
golongan yang berkepentingan, mereka kelak tetap akan diiktiraf oleh
golongan yang sedar dan insaf akan kepahlawanan mereka. Pun begitu ada
juga pejuang yang dilupakan. Ada juga wira yang tidak didendang dan
dikenang.
Ciri Pejuang
Pejuang itu muncul
dalam pelbagai medan dan cara. Namun bersatu dalam beberapa perkara
asas. Mereka ada matlamat yang dapat difahami, ada keberanian untuk
mencapai matlamat tersebut dan ada kesanggupan
untuk menanggung bebanan
perjuangan. Orang yang tidak tahu matlamat perjuangannya tidak boleh
dianggap pejuang. Orang yang bacul juga bukan pejuang. Orang yang tidak
sanggup berkorban dan mengharungi susah payah dalam membayar harga
perjuangan juga tidak layak digelar pejuang. Orang yang menyuruh orang
lain memanggilnya wira ataupun pejuang, sedangkan dia tidak berkorban
bahkan meratah keuntungan atas hasil usaha orang lain lagilah tidak
layak digelar pejuang.
Apabila pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka
menjemput saya pada 2-3 Julai ini untuk mengulas novel sasterawan Negara
Dato’ Anwar Ridhwan berjudul ‘Penyeberang Sempadan’, maka saya pun
membaca novel tersebut sehingga habis. Novel yang memenangi Hadiah Sako
itu memang menarik untuk dibaca. Kisah tentang seorang pejuang yang
dimunculkan oleh keadaan kemudian hidup dalam kebingungan mencari arah
dalam dunia yang penuh tidak pasti. Watak utama yang diberi nama ‘Kuay’
dalam novel itu merupakan pejuang bersenjata bersama komunis yang
menentang British sebelum kemerdekaan. Beliau menjadi ‘orang buruan’ dan
terus dianggap sebagai ancaman kepada negara walaupun selepas 20 tahun
negara merdeka. Dari novel itu saya terfikir, siapakah pejuang?! Orang
seperti Kuay, seperti Mat Indera dan seumpama mereka, apakah dianggap
pejuang?
Kehebatan
Dalam sejarah, kita
melihat orang seperti Che Guevara yang berjuang dengan senjata dan
gerila. Saya terpesona dengan kesanggupan dan pengorbanannya. Ada yang
seperti William Wilberforce yang berjuang menerusi politik dan parlimen.
Saya amat kagum dengan kesungguhannya, bahkan dengan isi perjuangannya
yang mulia. Berjuang untuk satu hasrat yang murni iaitu pembebasan
hamba. Sanggup mempertaruhkan kepentingan politik dan menerima tekanan
demi hasrat tersebut.
Filem mengenainya ‘The Amazing Graze’
benar-benar menjadikan perasaan sebak dan semangat membakar. Nelson
Mandela juga hebat sebagai pejuang. ‘Long Walk to Freedom’ menjadikan
kita terpukau dengan kesanggupan menanggung derita yang begitu berat
untuk sebuah perjuangan yang diyakini benar. Sanggup dipenjara, tidak
rela dibebaskan jika perjuangan tergadai. Hebat!
Gandhi juga
pejuang yang hebat yang menggunakan sentiment rakyat untuk mencapai
kepentingan perjuangan yang baik. Florence Nightingale merupakan wanita
gigih lagi mulia yang berjuang untuk memberi khidmat kepada orang lain.
Menonton filem Sang Pencerah menjadikan saya bersemangat untuk mengikuti
watak utamanya iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang merupakan tokoh besar
sejarah tajdid agama di Indonesia. Terasa menusuk jiwa. Perjuangan dan
cabaran. Bak kata sang sufi ‘sesiapa yang tidak rasa, tidak dapat
memahaminya’. Terlalu ramai lagi jika hendak disebutkan dalam sejarah
pembinaan tamadun manusia. Mengiktiraf keperwiraan seseorang pejuang,
bukan semestinya kita menyokong ataupun bersetuju dengan semua
pegangannya. Kita mungkin tidak bersetuju dengan ‘socialism’ Che
Guevera, namun kita perlu akur dia pejuang yang handal dan ada
nilai-nilai positive yang patut dipuji pada dirinya.
Iktiraf
Golongan
agama di samping membaca dan mengkaji tentang sejarah para pejuang
‘agama’, perlu juga melihat sejarah para pejuang lain dari pelbagai
latar supaya kita memiliki horizon penilaian yang lebih luas. Jika pun
kita tidak bersetuju, kita wajar juga mengiktiraf kesungguhan dan
mempelajari strategi yang telah mereka lalui. Bahkan tidaklah salah
untuk kita mengiktiraf kebaikan perjuangan mereka dan menyertainya jika
ternyata itu satu kebaikan. Seperti yang selalu disebutkan bahawa Nabi
s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish
semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi
dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (dalam as-Sunan al-Kubra
meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan
satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian
itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku
akan sertai.”.
Di samping kita juga perlu tahu, mungkin ramai
dalam kalangan mereka yang tersenarai sebagai pejuang itu tidak sampai
kepada mereka ajaran Islam yang sebenar. Maka, kita tidak boleh menuntut
untuk mereka mendasari perjuangan mereka kepada ajaran Islam seperti
yang kita fahami. Firman Allah: (maksudnya) “Tiadalah Kami mengazabkan
sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)
Dikenang
Ramai
pejuang yang tidak dikenang semasa hayat mereka. Bahkan kebanyakan
pejuang itu menderita semasa hidup mereka. Diburu, dihina, dicerca,
dipenjara, diseksa bahkan ada yang dibunuh.
Nilai perjuangan
pula, diukur berdasarkan kepada aliran masing-masing. Seseorang mungkin
dianggap pejuang oleh satu pihak, tetapi mungkin pulak dianggap
pengkhianat oleh pihak yang lain. Bukan semua pejuang mendapat
pengiktirafan menyeluruh oleh bangsa dan negaranya. Betapa ramai pejuang
yang difitnah semasa hayat mereka dan fitnah itu terus dibawa sehingga
mereka telah lama pergi meninggalkan dunia ini. Kemudian apabila pejuang
itu dikenang, apa penghargaan yang hendak diberikan selepas mereka
tiada?!
Saya pernah berkata kepada seorang ketua negara yang
berbicara dengan saya secara peribadi bahawa ramai pemimpin yang
dikenang jasanya dengan diberikan nama bangunan, atau jalanraya atau
sekolah atau bandar sempena namanya. Dapatkah dia merasai nikmat itu?
Dapatkah dia merasa kenikmatan hanya kerana namanya disebut selepas
mati? Sedangkan dia berhadapan dengan Tuhan yang akan mempersoalkan
segala tindakan dan amalannya.
Ramai pula yang mengaku jujur dan
ikhlas, sedangkan maksud sebenarnya Allah mungkin tidak demikian. Maka
dalam Islam, seseorang yang hendak berjuang, terlebih dahulu hendaklah
dia membetulkan niatnya dengan tuhannya. Keimanan yang luhur kepada
pembalasan baik dan buruk terhadap amalan di dunia ini boleh menjadikan
seseorang itu pejuang yang sejati. Balasan nikmat dari Allah itu yang
paling diharapkan. Pengiktirafan Allah itu maha penting. Justeru itu
Nabi s.a.w bersabda: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat
seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah
bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab:
“Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau
bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan
itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum,
diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula
seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca
al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang
telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari
ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau
bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan
engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun
dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya
sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula seorang yang Allah
luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa
memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan
di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau
suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya
keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan
supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”.
Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan
ke dalam neraka. (riwayat Muslim).
Tiada syurga untuknya,
sebaliknya baginya neraka. Maka, dalam Islam sesiapa yang ingin berjuang
hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah, kemudian memastikan dia
berada pada landasan perjuangan yang betul yang Allah redha padanya.
Nabi s.a.w pernah ditanya: "Seseorang yang berperang untuk mendapatkan
harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang
berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka
yang berada di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesiapa yang
berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di
jalan Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, pejuang Islam ialah seorang ikhlas niat dan benar jalan perjuangan yang dipilihnya.