Sebagai salah seorang peserta demonstrasi yang telah biasa berkhemah di Rabaah, saya memang berada di situ sejak Rabu pagi.
Seawal jam 6 pagi, arahan dikeluarkan kepada semua agar meninggalkan
khemah dan berada di dataran, dan sudah ada tanda-tanda kecemasan.
Sekitar jam 6.30 pagi, saya mula mengalami masalah dengan isyarat
talian internet menyebabkan saya termangu-mangu, dan ketika saya tiba di
belakang “Tiba Mall” jam 6.40 pagi, barulah saya menyedari serangan
telah bermula dengan lontaran bertalu-talu gas pemedih mata yang
dilontarkan tepat ke tengah-tengah kawasan di mana peserta demonstrasi
aman duduk. Dalam tempoh beberapa minit, saya dapat melihat mangsa pertama dilumuri
darah dari luka yang parah di tangan yang kelihatannya telah melibatkan
sebahagian besar otot tangan kanannya. Sebagai pakar bius dan pakar
perubatan kecemasan (critical care physician), saya mengambil keputusan
untuk menawarkan diri bertugas di hospital Medan Rabaah sejak awal
perhimpunan diadakan, iaitu selepas Presiden Morsi digulingkan.....klik tajuk/
TMI
Hospital medan agak tersusun. Ia barangkali telah belajar daripada dua
episod pembantaian lepas. Walaubagaimanapun, mangsa bertali arus masuk
dan dengan segera, keadaan menjadi kelam kabut.
Saya tidak merasai sendiri pengalaman ketika pembantaian “Republican
Guards" atau pembantaian Al-Azhar, maka saya berasa sangat terkesan
melihat betapa ramainya mereka yang mengalami kecederaan pada hari ini.
Dalam masa kurang dari 3 jam, hospital dan ruang-ruang dewan berhampiran hampir penuh dengan mayat dan mereka yang cedera.
Kecederaan yang dialami adalah sama ada dari peluru tabur (birdshot) kepada peluru hidup (live bullet).
Kebanyakan luka dari peluru hidup dijumpai di bahagian atas badan
dengan sebahagian besarnya di kepala dan leher yang langsung
mengakibatkan kematian.
Sekitar jam 10-10.30 pagi, gas pemedih mata mula dilemparkan ke arah
hospital, menyebabkan udara sekitar amat melemaskan dan semua kakitangan
hospital mula memakai topeng mulut.
Oleh kerana saya tidak berdaftar di hospital tersebut, saya tidak mempunyai bekalan topeng.
Sukar bernafas, saya tinggalkan aras pertama, aras di mana pesakit
diterima, dan cuba naik ke aras kedua untuk mencari topeng tersebut di
bilik bekalan.
Di aras kedua, saya terjumpa sebuah bilik di mana kaum ibu membawa
anak-anak kecil mereka berlindung dari asap pemedih mata yang cukup
pekat itu.
Saya akhirnya hanya menjumpai topeng biasa dan bukan topeng yang dapat melindungi dari asap pemedih mata.
Saya menyambung tugas membantu mangsa-mangsa baru yang tiba di
hospital, tetapi keadaan semakin teruk dengan pertambahan jumlah mangsa.
Ini termasuk kes-kes yang parah, asap pemedih mata (saya mendapat tahu
kemudiannya botol gas ini dilemparkan dari atas oleh helikopter). Bunyi
tembakan juga semakin hampir dengan hospital.
Jam 12.00 tengahari, terdapat arahan untuk mengosongkan hospital kerana
terdapat kebimbangan serangan di situ. Semua staf di arah menyorokkan
tag pengenalan identiti perubatan mereka, menyorokkan kot putih atau
sarung tangan bagi mengelakkan tangkapan atau soal siasat.
Saya meninggalkan hospital tersebut dan melintasi satu dewan yang
dipenuhi mayat-mayat mangsa serangan, dan kemudiannya melalui satu dewan
lain yang penuh juga dengan mereka yang tercedera yang dikategorikan
sebagai kurang teruk (apabila saya maksudkan kurang teruk, ini hanyalah
bermaksud mereka ada beberapa jam untuk mengharungi kecederaan tanpa
pemerhatian rapi, tapi sebenarnya, dalam keadaan normal, mereka adalah
pesakit yang memerlukan pembedahan segera).
Hati saya sangat tersentuh tatkala saya melihat senario wanita dan
orang tua yang hanya mampu menangis di samping anak-anak atau saudara
mereka yang tercedera kerana memang tidak ada siapa yang dapat menolong
mereka di tengah-tengah serangan berdarah ini.
Saya berdiri di sebuah koridor di belakang hospital, yang berdekatan
dengan Masjid Rabaah. Di sini juga beberapa mangsa di kalangan pemprotes
berlindung setelah mereka tiada lagi tempat di hospital.
Salah seorang dari mereka yang cedera (ditembak di kaki) berkata kepada
saya “Dr, kenapa berdiri sebegini? Pergilah dan pindahkan atau tolong
pesakit lain”. Saya berasa sangat simpati kepada anak muda ini, yang
tidak pedulikan kecederaan dirinya sendiri sebaliknya memikirkan
sahabat-sahabat lain di tengah-tengah serangan berdarah ini.
Saya sendiri tidak tahu hendak ke mana setelah arahan mengosongkan
hospital, jadi saya terus berlindung di situ, hampir dengan masjid di
mana wanita dan orang tua berada. Bunyi tembakan peluru bersambungan dan
semakin dahsyat, asap terus memenuhi ruang.
Selepas beberapa minit saya lihat gas pemedih mata menguasai koridor di
mana saya berdiri tadi, saya teringatkan pemuda yang menegur saya tadi
dan yang lain yang tercedera, adakah mereka sempat dipindahkan atau
tidak? Orang ramai mengipas-ngipas ruang udara mereka dengan baju dan
kain untuk cuba mengusir asap dan bau yang cukup melemaskan itu.
Selepas sejam, saya berjumpa seseorang dari hospital medan tadi, dan
dia memberitahu sebuah hospital dari badan kebajikan Rabaah telah dibuka
untuk menerima pesakit. Saya segera ke situ dan segera bertugas
kembali, saya merasakan sedikit lega kerana dapat bekerja di hospital
sebenar, apatah lagi sahabat-sahabat sekerja saya berjaya mendapatkan
bekalan perubatan dari hospital medan tadi. Kami mula bekerja dan saya
gembira kadar mangsa baru yang datang berkurang. Saya mula terfikir yang
tentera telah memberhentikan serangan mereka.
Saya mula bekerja dengan kes yang ada dengan sepenuh kemampuan saya.
Ada beberapa kes yang teruk. Salah satu daripadanya adalah kes seorang
wartawan asing (saya diberitahu bahawa mereka dari Sky News) telah
ditembak di bahagian bawah dada, mengalami pendarahan yang banyak
sehingga beliau kelihatan pucat.
Saya sempat memberitahu rakan-rakan wartawan tersebut yang sahabat
mereka memerlukan pembedahan segera (hanya beberapa minit kemudian, saya
telah tidak dapat menemukan mereka, dan tidak tahu sama ada sahabat
mereka terselamat atau tidak).
Namun saya sempat berpesan kepada kumpulan wartawan ini, jika mereka
boleh memberitahu dunia, untuk menyeru tentera supaya jangan mensasarkan
hospital dengan serangan peluru hidup dan gas pemedih mata.
Sniper mensasarkan hospital
Dalam keadaan yang agak aman ini, saya turun ke aras bawah tanah untuk
cuba merehatkan diri, tapi nasib saya, terjumpa dua orang yang kebetulan
dari kampung halaman saya. Mereka bertuah kerana hanya cedera dengan
tembakan di kaki dan di betis, dibandingkan dengan kes-kes di luar sana.
Saya kemudiannya melakukan bantuan kecemasan resusitasi (CPR) kepada
seorang mangsa lain, malangnya tidak berjaya menyelamatkan beliau. Saya
cuba membantu pasukan perubatan untuk memindahkan jasad beliau, tapi
kami diberitahu bahawa peti penyejuk tempat simpanan mayat telah pun
penuh dengan lebih 40 mayat, dan diarah membawa mayat tersebut ke
tingkat 3. Saya amat terkejut melihat dewan di tingkat 3 juga penuh
dengan 30-40 mayat.
Saya meletakkan jenazah ke satu bahagian di situ, dan turun ke tingkat
bawah, hanya untuk kemudiannya diberitahu bahawa pintu masuk ke hospital
sekarang adalah di bawah "ehsan" seorang penembak tepat (sniper) yang
akan menembak sesiapa sahaja yang cuba masuk ke hospital.
Satu pemandangan yang memilukan melihat orang ramai berlari membawa
sama ada bekalan hospital, ataupun mangsa yang tercedera, dengan susah
payah mengelakkan diri dari sniper yang juga mensasarkan tembakannya
hatta kepada mereka yang cuba mengintai di balik tingkap hospital.
Tidak berapa lama kemudiaan, tembakan sniper itu mengenai kaca tingkap
yang pecah berderai. Jam 3 petang, keamanan yang kami nikmati seketika
hancur dengan ramai lagi mangsa dibawa ke hospital dengan kecederaan
yang lebih parah daripada apa yang dilihat di sebelah pagi tadi.
Saya melihat mangsa yang berkecai kepalanya dan bersepai tisu otak di
atas lantai. Saya juga melihat mangsa dengan tembakan yang disasarkan
tepat mengenai kepala dan leher, ditembak sniper.
Jam hanya menunjukkan jam 4 petang, apabila lantai di aras bawah tanah
dan tingkat satu telah mula penuh dengan mereka yang tercedera dan
terkorban. Saya tahu, di aras lain pun keadaannya serupa.
Terdapat beberapa ambulan yang cuba memindahkan pesakit dari pintu
belakang, tetapi dengan kecederaan parah mangsa-mangsa yang ada, saya
rasa mereka hanya dapat memindahkan sekitar 5% sahaja dari keseluruhan
yang memerlukan pembedahan. Keadaan semakin teruk, kami tidak dapat
merawat semua kes yang baru tiba. Kami hanya memikirkan kes-kes yang
mempunyai peluang cerah untuk hidup walaupun bilangannya sedikit.
Lantai dilumuri darah, dan pesakit baru terpaksa dibawa merentasi
mereka yang lain yang telah ada di atas lantai. Saya bekerja seperti
sebuah mesin, dan tidak percaya saya masih hidup melihat perkara ini
terjadi di negara saya sendiri.
Saya pernah menjadi sukarelawan di hospital lapangan di Dataran Tahrir
pada tahun 2011, tetapi tiada yang dapat dibandingkan dengan pembantaian
Rabaah ini. Saya sehinggakan tidak sempat mengambil gambar pesakit atau
dokumen mereka kerana terlalu sibuk menyelamatkan nyawa.
Bau kematian berada di mana-mana, dan baju saya basah dilumuri darah.
Saya terpaksa menulis sebuah buku jika harus menceritakan semua pesakit
yang saya rawati.
Polis menyerang hospital jam 5.00 petang, peluru sekali lagi menghujani
pintu, dan meranapkannya sama sekali. Bunyi tembakan semakin dekat dan
bingit. Setengah jam kemudian, tembakan dilepaskan ke Jabatan Kecemasan
yang dipenuhi dengan pasukan perubatan dan mangsa.
Ketakutan menyelubungi hospital dan semua orang seperti terperangkap di
tempat sendiri. Sepuluh minit kemudian, pegawai polis memecah masuk ke
hospital. Mereka berbadan besar dan memakai pakaian khas berwarna hitam
dengan senjata api besar, yang belum pernah saya lihat sebelum ini.
Mereka mengarahkan semua orang meninggalkan hospital.
Perdebatan tercetus di antara kami tentang apa yang kami perlu buat
dengan ratusan yang lain yang tercedera yang masih hidup di hospital,
dan adakah kami dapat mempercayai polis-polis ini, namun apabila seorang
polis masuk ke ruangan di mana kami berada, seorang demi seorang mula
beredar.
Ketika mula beredar, saya memberitahu seorang polis, yang masih
terdapat mereka yang tercedera di hospital itu. Dia menjerkah saya
berkata “Biarkan mereka mati! Biarkan mereka mati!” dan berjalan ke arah
saya dengan senapang yang besar itu, seakan ingin menyerang saya. Nasib
baik, saya sempat lari menerusi pintu kaca yang pecah ketika dia sibuk
dengan mereka yang lari ke arah berlawanan.
Keadaan di hospital Raba'ah Adawiyah sehari selepas di bakar oleh polis. AFP pic, 17 Ogos, 2013.Polis membakar hospital
Di luar hospital, keadaanya lebih mengerikan, mayat-mayat di atas
jalan, dan tembakan di sana sini. Kami berjalan di sepanjang tembok
dengan tembakan demi tembakan dan saya tidak tahu jika orang di belakang
saya terbunuh atau tidak. Saya berjalan terus ke jalan berhampiran,
risau jika saya ditembak atau ditangkap, tapi nampaknya polis sibuk
dengan saki-baki pemprotes di tempat protes tadi.
Saya toleh ke belakang dan lihat asap tebal, setelah mereka membakar
hospital dalam keadaan masih ramai orang di dalam, mayat-mayat dan
mereka yang tercedera yang tidak dapat meninggalkan hospital. Sehingga
saat ini, saya tidak dapat melupakan kes terakhir saya, seorang tua yang
datang setelah ditembak di kepala, tetapi beliau masih hidup.
Beliau ditemani oleh anak saudaranya yang berumur antara 15-16 tahun.
Saya lakukan bantuan kecemasan , memasukkan tiub intubasi (intubation)
dan meminta anak saudaranya mengepam udara masuk ke ruang pernafasan
menggunakan pengepam (ambu-bag breathing).
Dalam perjalanan keluar, saya masih terlihat riak wajah tak berdaya
remaja ini memohon pertolongan dari kami untuk bapa saudaranya. Bapa
saudaranya mungkin terbunuh dengan terbakarnya hospital, tapi saya tidak
tahu nasib remaja ini.
Saya berjalan keluar, berfikir, adakah spesies manusia yang menyerang
kami, atau bukan. Segala tembakan adalah untuk membunuh, dan segala
keceraan adalah di luar imaginasi. Saya tidak mahu percaya bahawa saya
telah hidup melihat penduduk Mesir terbunuh di jalan-jalan dan
hospitalnya dibakar, dengan pesakit masih di dalamnya.
Jika ini berlaku kepada kita, oleh mereka yang juga kaum Mesir yang
sepatutnya melindungi kita, apa akan terjadi jika kuasa asing menyerang
negara kita? Saya menulis setiap baris ini dan saya masih tidak
mempercayainya. Saya berharap semua ini adalah mimpi ngeri yang saya
akan terjaga darinya. - 17 Ogos, 2013.
* Dr Islam Abdel Rahman adalah seorang pakar bius (anaesthetist). Catatan ini dibuat di Medan Rabaah pada 9.44pm, 15 Ogos 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.