Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Harang Ketetapan Allah’ muncul di saat
rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan
subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majority rakyat memang tidak puas
hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan. Mungkin
niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun
meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia
bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.
Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu
pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang
ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.
Akidah
Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu
ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul
aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan
Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam
kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam
golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis
berkenaan tidak demikian.
Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama.
Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam
yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka
manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang
berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh
berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA
redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. Dia
tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun
atas sistem alam yang diciptaNYA. Dia redha hamba-hambaNYA bersedekah,
tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas
sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang
baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk
membalas kebaikan dan keburukan.
Usaha.....drmaza.com
Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan
usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh
memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku.
Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk
membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam
keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia
menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran.
Firman Allah: (maksudnya) “ (ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka
sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon
tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan
jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru
dari sebelah bawahnya:" janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam),
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu
buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).
Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja
buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia
goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat
menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan
Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut
tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.
Takdir
Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan,
namun Nabi s.a.w menyebut: “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat,
jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan
kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim).
Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu
membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi
kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi: “Bagi setiap
penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin
Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini
memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut: Hadis-hadis ini juga
menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata:
“Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”.
Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.”
(Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka
bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab
musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi
jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan
seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang
bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir,
dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan
(maksudnya) “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”
(Surah al-Baqarah, ayat 195).
Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita
terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir,
pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan
salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan
mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh
kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai
takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’.
Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada
sistem keadilan yang wajib ditegakkan.
Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang
dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga
barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu
teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk
ketamakan awak!’.
Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana
yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang
tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya:
‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan
sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang
betul untuk membela.
Maksud Hadis
Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas
bin Malik, dia berkata: “Harga barang telah menjadi mahal di Madinah
pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun
berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga
untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang
menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha
memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam
keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku
haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu
Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh
al-Albani)
Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia,
tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan
menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang
seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.
Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan
harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli
juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak.
Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar
(hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk
campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn
al-‘Arabi sebut: “Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan
dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak
(peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w)
adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang
betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta
dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas
dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan
menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang
menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.
Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini
mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada
Khawarij: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil".
(Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub
al-'Ilmiyyah).
Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan
mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah. – 12 September,
2013.
* Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Besar Perlis.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.