Cabaran paling besar di kalangan sesetengah yang memakai gelaran
‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj
atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan
dengan Islam ini. Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau
‘memang tak mahu fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan
dengan agama, sama ada hasil percakapan orang atau bahan bacaan yang
mereka temui.
Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan
pemikiran yang diberikan lebel agama. Jika hal itu berterusan, maka
kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda
dan didustai.
Menilai
Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk
dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan
maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada ia
berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak? Sementara jika
riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia
riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan
sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran,
atau realiti yang nyata, atau fakta sejarah yang tidak mungkin
dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada
jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak. Contohnya
cerita bahawa bahtera Nabi Nuh AS, tawaf kaabah dan bersolat di makam
Ibrahim dua rakaat. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal.
Nabi Nuh AS wujud sebelum Ibrahim AS. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi
Ibrahim dan makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim AS. Di
mana kaabah dan makamnya ketika itu untuk bahtera Nuh bertawaf? Dengan
itu para ulama hadis menolak cerita ini. Termasuk yang tampil menempelak
riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’i r.h (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa
al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada
penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.
Pembunuhan Husain
Beberapa email saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar
ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram
kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali.
Ada yang bimbang masuknya unsur Syiah ke dalam masyarakat yang tidak
diajar menilai sesuatu dengan kritis. Saya kata; kita tidak bimbang
asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya.
Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana
sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu.
Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh daripada
kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh
Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut
kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari
‘Asyura?
Apa yang pasti ia tidak pernah ada riwayat sahih yang menyuruh hal itu.
Apatahlagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H,
di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir,
al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi SAW ini,
al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa
ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya
seperti yang didakwa.
Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn
Kathir (meninggal 774H): “Orangramai mempunyai berbagai pendapat tentang
Yazid bin Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu
segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah.
Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan
pelbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya
zindiq (kafir yang berpura Muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara
pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya.
Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh
golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku
berbagai peristiwa yang jelik dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh
dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala.
Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak
meredhainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).
Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak
sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain
r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh
al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid
Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min
Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang
menarik, katanya: “Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia
memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia
melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai
ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain”.
Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya
dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya.
Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia
meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun
musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya
berbagai-bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh:
Maktab al-‘Abikan).
Unsur Syiah
Unsur Syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi
keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang Melayu menamakan
akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan
Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga
Kacip ‘Aishah, atau Habsah. Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu
kanan, berkat doa baginda ‘Ali”.
Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum
keluarga Nabi SAW yang amat kita kasihi. Sebaliknya, yang ditakuti
apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang
menakutkan. Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang
kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri
masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan
kekejaman Yazid.
Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharram
saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan air
mata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali. Lalu peristiwa
hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah
sasarannya? Apapun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya sunni
dan syi’ah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang
sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.
Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut
Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang
dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia
akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan
lurus mencapai Tuhan?
Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang
mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau
mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya
berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus
dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti
yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah. – 14 November, 2013.
* Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas Mufti Perlis.