17 April 2014

OLEH MOHD FARHAN DARWIS TMI

 Umat Islam tidak digalak untuk mengucapkan ucapan "Rest in peace (R.I.P)" kepada seseorang bukan Islam kerana ianya berunsur keagamaan yang diambil daripada Kristian, kata Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka; www.e-fatwa.gov.my, Majlis Fatwa Kebangsaan berkata umat Islam bagaimanapun dibolehkan untuk menyampaikan rasa simpati dan takziah mereka kepada keluarga penganut bukan Islam selagi ia tidak memberi implikasi keagamaan.
"Seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada seorang bukan Islam....lagi

"Bagaimanapun, Islam tidak menghalang mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti 'Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda' atau 'kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan daripada keluarga anda," kata kenyataan itu.
Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi menerima banyak ucapan "RIP" daripada pengguna laman sosial.
Kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki Karpal berlanggar dengan sebuah lori seberat lima tan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan.
Karpal, 73, dan pembantunya Michael Cornelius, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian.
Berhubung ucapan 'Rest in peace', Majlis Fatwa Kebangsaan berkata:"Ia juga mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin; "May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace."
Katanya, perkataan itu adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18, dan turut diukir di batu nisan si mati.
"Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan," katanya.
Kenyataan itu turut berkata, ucapan berkenaan turut bergantung kepada niat seseorang yang memberikan ucapan tersebut.
"Sekiranya ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang.
"Sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus," katanya. – 17 April, 2014.

0 Comments:

Post a Comment